Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Usaha memperkasa kesedaran masyarakat mengenai demensia terus diperkukuh menerusi Larian Virtual Mind Over Miles sempena Bulan Demensia Sedunia 2026 yang berjaya menghimpunkan lebih 150 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Sehubungan ini, Majlis Penutup Larian Virtual Mind Over Miles disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Noridah binti Haji Abdul Hamid yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, di ibu negara hari ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama, Dayang Nur Razanah binti Haji Rosli daripada Y-Lite, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) diikuti Presiden Demensia Brunei, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Md. Kassim.
Dr. Hajah Norhayati dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 57 juta orang di seluruh dunia menghidap demensia pada 2021, dengan hampir 10 juta kes baharu berlaku setiap tahun.
Jelasnya lagi, angka berkenaan dijangka meningkat kepada 78 juta orang menjelang 2030, dan 139 juta orang menjelang 2050 peningkatan yang amat membimbangkan dalam tempoh kurang tiga dekad sahaja.
Demensia tambahnya, bukanlah sekadar isu kesihatan individu. Kesannya turut dirasai dan ditanggung oleh ahli-ahli keluarga, penjaga, masyarakat serta sistem kesihatan dan penjagaan sosial secara keseluruhan.
Beliau menekankan, walaupun risiko demensia meningkat seiring dengan peningkatan usia, adalah penting untuk kita fahami bahawa demensia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal.
Dr. Hajah Norhayati selanjutnya mengongsikan daripada sebuah kaji selidik (Community-based Dementia Screening Initiative in Brunei) yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Demensia Brunei dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan dan Universiti Brunei Darussalam pada 2023, yang melibatkan lebih 1,000 orang berusia 50 tahun ke atas, telah mendapati simptom yang paling kerap dilaporkan ialah salah letak barang (42.6 peratus), mudah lupa (32.5 peratus), dan kesukaran visuospatial (24.2 peratus).
"Antara individu yang mempunyai simptom, 14.5 peratus melaporkan simptom yang semakin teruk dan 12.0 peratus mengalami gangguan aktiviti harian. Ujian saringan pendek bagi pengesanan demensia yang digunakan dalam kajian tersebut mendapati 14.4 peratus peserta disyaki mengalami gangguan kognitif.
"Kajian ini juga mengesahkan bahawa faktor-faktor risiko yang lazim dihidapi dalam kalangan masyarakat kita tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol tinggi dan penyakit buah pinggang, kesemuanya adalah faktor risiko yang sama bagi penyakit demensia," katanya lagi.
Beliau seterusnya berkata, sejak penubuhan Persatuan Demensia Brunei (dB), mereka telah berusaha ke arah satu misi, iaitu mewujudkan sebuah Brunei yang mesra demensia.
Dalam hubungan ini tambahnya, dB telah beberapa kali mengendalikan latihan amali bagi para penjaga dan petugas kesihatan, dB juga telah mengadakan pameran dan jerayawara ke sekolah-sekolah, Pusat Kegiatan Warga Emas, pusat-pusat beli-belah dan acara-acara di Bandarku Ceria bagi meningkatkan kesedaran mengenai demensia.
Dr. Hajah Norhayati selanjutnya menjelaskan, dB juga adalah ahli kepada Alzheimer's Disease International, manfaat daripada keahlian ini memberi pendedahan dan peluang kepada maklumat terkini mengenai demensia, latihan-latihan yang berkaitan serta amalan terbaik di peringkat sejagat yang boleh diadaptasi ke dalam konteks tempatan kita.
"Pada tahun ini, dB beruntung kerana dapat bekerjasama pula dengan 2 buah persatuan belia, iaitu Belia Imtiyaz dan Y-LITE dalam menganjur larian secara maya, Mind Over Miles. Larian ini merupakan kempen kesedaran yang menggalakkan masyarakat Brunei untuk terus aktif secara fizikal sambil menyokong kesihatan otak dan kesedaran tentang demensia.
"Di samping itu, ia juga sebagai satu usaha untuk mengutip dan menambah dana dB. Selain itu, dB juga telah bekerjasama dengan Kumpulan PINGAT dari fakulti perubatan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah Universiti Brunei Darussalam dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran tentang demensia," ujarnya lagi.
Jelasnya, penglibatan aktif golongan belia dalam program-program kesedaran, aktiviti sukarelawan dan kempen-kempen seperti berkenaan membuktikan bahawa isu demensia bukanlah menjadi kerisauan generasi warga emas sahaja, tetapi satu tanggungjawab bersama merentasi semua peringkat umur.
Dr. Hajah Norhayati juga menggariskan beberapa saranan antaranya ketahuilah tanda-tanda awal demensia, dan jangan anggap setiap perubahan pada daya ingatan berkenaan sebagai perkara biasa akibat proses penuaan. Ingat demensia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Dapatkanlah maklumat dan bantuan yang bersesuaian daripada profesional kesihatan, Kementerian Kesihatan atau dari dB.
Selain itu, beliau menyarankan dapatkan pemeriksaan lebih awal di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan jika terdapat perubahan pada daya ingatan, pemikiran atau tingkah laku yang mula menjejaskan kehidupan seharian. Pengesanan dan diagnosis awal akan dapat membantu dalam mengurus penyakit ini dengan lebih baik.
"Hentikan stigma dan elakkan perkataan, jenaka atau tanggapan yang boleh memalukan, merendahkan atau memulaukan mereka yang hidup dengan demensia.
"Seterusnya, berikan sokongan dan hulurkan bantuan praktikal kepada ahli-ahli keluarga dan penjaga pengidap demensia. Dan jagalah kesihatan otak sepanjang hayat dengan melakukan kegiatan fizikal secara tetap, berhenti merokok atau mengelakkan asap rokok, mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, menjalin hubungan sosial yang bermakna, memastikan pembelajaran berterusan, tidur yang mencukupi, serta mengawal tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor-faktor risiko kesihatan yang lain," ujarnya lagi.
Larian Virtual Mind Over Miles sejauh 30 kilometer berlangsung dari 15 Julai hingga 30 Ogos2026, dengan peserta bebas berlari atau berjalan di lokasi pilihan masing-masing sebelum merekodkan jarak menerusi aplikasi penjejak.
Program anjuran Kumpulan Y-LITE Kohort 2026, Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama dB dan Belia Imtiyaz berkenaan bukan sahaja menjadi wadah meningkatkan kesedaran mengenai demensia, malah menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkukuh jaringan sokongan antara komuniti, penjaga dan individu yang hidup dengan demensia.
Hasil kutipan yuran penyertaan dan derma melalui tabung yang ditempatkan di beberapa lokasi akan disalurkan kepada dB.
Majlis juga menyaksikan pelancaran klip video dB dan seterusnya penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja. Majlis turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik dan pameran pendidikan mengenai demensia.
Inisiatif berkenaan turut memberi pengalaman langsung kepada Kumpulan Y-LITE dalam aspek kepimpinan, pengurusan program, kerja berpasukan dan komunikasi, sekali gus mencerminkan peranan belia sebagai penggerak kesedaran dan perubahan positif dalam masyarakat.
Program berkenaan diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai demensia dan kepentingan pengesanan awal, menggalakkan amalan gaya hidup aktif sebagai salah satu langkah mengurangkan faktor risiko demensia, serta memperkukuh jaringan sokongan antara komuniti, penjaga dan individu yang hidup dengan demensia.
Lebih penting, program berkenaan dihasrat bagi memupuk kefahaman, empati dan keprihatinan masyarakat terhadap individu yang hidup dengan demensia, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih aktif, inklusif, prihatin dan penyayang, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.