Berita dan Foto : Ihsan Kelab Sosial dan Rekreasi Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Kelab Sosial dan Rekreasi Brunei (BSRC) telah menganjurkan Kejohanan Badminton Berpasukan Mini Persahabatan Komuniti BSRC yang berlangsung dengan penuh meriah baru-baru ini.
Kejohanan yang diadakan di BSRC Badminton Hall itu telah menarik penyertaan seramai 64 pemain komuniti yang bersemangat tinggi.
Diadakan dalam format satu malam, acara ini memenuhi slogan ‘64 Pemain, 8 Pasukan, Satu Malam, Satu Juara,’ yang bermatlamat untuk mengeratkan silaturahim sesama komuniti melalui sukan.
Pada kejohanan tersebut, Pasukan ‘E’ diumumkan sebagai juara, diikuti naib juara disandang oleh Pasukan ‘C’ dan tempat ketiga ialah Pasukan ‘B’. Format unik kejohanan ini melibatkan lapan pasukan iaitu Pasukan ‘A’ hingga ‘H’ yang dibentuk secara rawak daripada 64 pemain, di mana setiap pasukan terdiri daripada lapan pemain.
Kejohanan diadakan dalam format League Stage yang kemudiannya diikuti oleh Knockout Stage, kedua-duanya diadakan pada malam yang sama, dengan hanya fokus kepada Kategori Men's Doubles.
Penggunaan sistem 31 point (No Deuce) memastikan perlawanan yang pantas dan menarik. Sesuai dengan konsep persahabatan yang diterapkan dalam kejohanan ini, ketiadaan pengadil dan penjaga garisan memperlihatkan semangat sukan yang tinggi di kalangan para peserta, dengan mematuhi prinsip ‘Fair Play’ dan ‘Hormat Semua’.
BSRC turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, ahli jawatankuasa penganjur, dan sokongan padu komuniti yang telah menjadikan kejohanan ini satu kejayaan yang amat bermakna.