Memupuk perpaduan, mencungkil bakat melalui ‘tenpin’ boling

18 Nov 2026 - 6:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. – Pertandingan Tenpin Boling sempena Hari Keluarga berlangsung di Utama Bowling Centre, Jalan Laksamana Abdul Razak, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM), Awang Haji Mohd. Yussof bin Mohd. Salleh.

Acara tahunan berkenaan merupakan penganjuran kali kelima oleh Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM) sebagai salah satu usaha berterusan dalam menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti sukan dan riadah.

Pertandingan tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli PKWE, di samping mencungkil serta mengembangkan bakat baharu dalam sukan tenpin boling.

Penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan dengan sasaran seramai 40 peserta yang terdiri daripada ahli pusat berkenaan, iaitu 20 peserta lelaki dan 20 peserta perempuan. Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, masing-masing bagi peserta lelaki dan perempuan.

Selain merebut gelaran juara, pertandingan berkenaan juga menjadi platform untuk menggalakkan warga emas mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, di samping memupuk semangat kesukanan serta kerjasama berpasukan.

Acara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Haji Abu Bakar bin Burut, diikuti dengan upacara balingan bola boling oleh tetamu khas, sebagai simbolik bermulanya pertandingan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.