Memupuk gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam sukan

16 Nov 2026 - 5:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar Kawasan 1 dan Kawasan 2

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Akar Kawasan 1 dan Kawasan 2, dengan kerjasama River Root Bangers (RRB), telah berjaya menganjurkan UNDER1ROOT : BANGERS BRAWL 2026, iaitu Kejohanan Pickleball Beregu Lelaki yang berlangsung di Dewan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Kampung Sungai Akar.

Kejohanan adalah bertujuan untuk mempromosi gaya hidup aktif dan sihat melalui kegiatan sukan, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, memupuk semangat persaingan secara sihat serta menggalakkan lebih ramai penduduk dan masyarakat setempat untuk melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi.

Kejohanan berkenaan mempertandingkan Kategori Beregu Lelaki dengan penyertaan yang disasarkan seramai 24 pasukan, melibatkan 48 pemain.

Pertandingan tersebut merangkumi beberapa peringkat, iaitu peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan akhir, sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk memperlihatkan kemahiran, kerjasama berpasukan serta semangat kesukanan masing-masing.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta, taklimat kejohanan dan ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur, sebelum diteruskan dengan perlawanan peringkat awal.

Kejohanan kemudiannya diteruskan dengan perlawanan separuh akhir dan akhir, sebelum diakhiri dengan Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang.

Johan disandang oleh Unfoced Errors, diikuti naib johan milik Sir Saja, manakala tempat ketiga dan keempat, masing-masing diraih oleh PJ Junior dan Bapak Bapak.

Selain menjadi medan pertandingan, acara tersebut turut berperanan sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempromosi sukan ‘pickleball’ kepada masyarakat umum, di samping memperkukuh kerjasama antara kedua-dua kawasan MPK serta komuniti sukan setempat.

Pihak penganjur turut berharap agar inisiatif seumpama itu akan dapat menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya golongan belia dan dewasa, untuk menyertai aktiviti sukan yang berasaskan komuniti, selain berpotensi menjadikan kejohanan berkenaan sebagai acara tahunan.