Kluster 5, Kluster 2 raih emas sukan ‘bocce’

18 Nov 2026 - 7:52am

Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Nurdiyanah Rajami dan Ihsan Jabatan Pendidikan Kokurikulum

BERAKAS, Selasa, 17 November. - Kementerian Pendidikan pada hari ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Sukan Bocce sempena Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (BDSG 2026) Kali Ke-3, bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.

Acara Bocce Unified telah diadakan selama dua hari pada 16 dan 17 November 2026 dan mempertandingkan sebanyak dua pingat emas bagi kategori lelaki dan perempuan, dengan setiap pasukan terdiri daripada empat orang pelajar, termasuk tiga orang pelajar berkeperluan khas.

Bagi Kategori Lelaki, pingat emas berjaya diraih oleh Kluster 5, manakala pingat perak dimenangi oleh Kluster 6 dan pingat gangsa masing-masing diperoleh oleh Kluster 3 dan Kluster 2.

Sementara itu, bagi Kategori Perempuan, pingat emas dirangkul oleh Kluster 2, manakala pingat perak diraih oleh Kluster 5 dan pingat gangsa masing-masing dimenangi oleh Kluster 1 dan Kluster 4.

Pada tahun ini, BDSG Kali Ke-3 sebanyak lima acara sukan yang dipertandingkan, iaitu bola jaring, ‘bocce’, badminton, futsal dan olahraga (kids athletics).

Kejohanan ini berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, dengan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah dari enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.

Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama bagi memperluas peluang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas dalam kejohanan tersebut.