Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
TEMBURONG, Ahad, 15 November. - Semangat kesukanan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus disemarakkan menerusi penganjuran Acara Berbasikal bagi Mengutip Sumbangan Tabung Bantuan Daerah Temburong anjuran Jabatan Daerah Temburong yang berlangsung di kawasan BIBD Connects, Labu Square, Mukim Labu, hari ini.
Acara yang disertai oleh lebih 50 pengayuh basikal itu merupakan antara inisiatif untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat perpaduan khususnya dalam kalangan warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), jabatan-jabatan di bawahnya, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyertai kayuhan berkenaan ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Setiausaha-setiausaha Tetap KHEDN, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan di Daerah Temburong serta para dermawan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan taklimat keselamatan serta penerangan mengenai laluan berbasikal sebelum para peserta memulakan kayuhan sejauh 6.8 kilometer dari BIBD Connects, Labu Square menuju ke Taman Rekreasi dan Peranginan Arrurbada (Arrurbada Impian), Mukim Labu.
Setibanya di Arrurbada Impian, Yang Berhormat dan para peserta berpeluang mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan bagi melihat sendiri potensi kawasan tersebut sebelum meneruskan kayuhan kembali ke BIBD Connects, Labu Square.
Arrurbada Impian, Mukim Labu mula diusahakan sejak penghujung bulan November 2025 sebagai salah satu inisiatif untuk menyediakan ruang rekreasi, riadah dan aktiviti santai kepada orang ramai.
Sehingga kini, pelbagai kemudahan dan kegiatan telah disediakan, antaranya kawasan glamping, junjung dan pondok rehat, Arrurbada Trail, kegiatan memancing, berkayak serta aktiviti riadah dan santai.
Penganjuran acara tersebut antara lain bertujuan mengumpul sumbangan bagi Tabung Bantuan Daerah Temburong yang akan disalurkan kepada penduduk kampung yang memerlukan, sekali gus menyemai nilai keprihatinan, kemurahan hati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, acara berkenaan turut menjadi platform untuk mempromosikan Mukim Labu sebagai salah satu kawasan yang berpotensi untuk aktiviti riadah, rekreasi dan kemasyarakatan.
Melalui penganjuran aktiviti seumpama ini, bukan sahaja amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk, malah semangat kebersamaan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat akan terus diperkukuh demi kesejahteraan penduduk Daerah Temburong.