Kayuhan basikal wadah eratkan silaturahim

16 Nov 2026 - 5:44am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Tim 55

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Semangat kesukanan dan ukhuwah terus disemarakkan menerusi Aktiviti Riadah Kayuhan Basikal sejauh 55 kilometer (Km) anjuran Tim 55 yang berlangsung hari ini.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan.

Kayuhan berbasikal bermula dan berakhir Restoran Dapur Zulkarnaen Kiulap, dengan laluan merangkumi Bandarku Ceria, Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Lumapas, Junjongan dan Limau Manis sebelum kembali ke laluan asal menuju ke tempat permulaan.

Selesai aktiviti kayuhan, para peserta berkumpul dalam suasana penuh kemesraan menerusi acara riadah, silaturahim dan bacaan Doa Selamat yang diadakan di restoran berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihoskan oleh pihak Pengurus Restoran Dapur Zulkarnaen, Awang Haji Mahadi bin Haji Latif, yang juga merupakan salah seorang ahli Tim 55.

Sepanjang aktiviti tersebut, semangat kebersamaan jelas terserlah apabila para peserta saling membantu, memberikan sokongan dan memastikan setiap ahli dapat menamatkan kayuhan dengan selamat. Semangat berkenaan mencerminkan nilai persahabatan Tim 55 yang mengutamakan kebersamaan, tanpa meninggalkan mana-mana peserta di sepanjang perjalanan.

Aktiviti seumpama itu diharap akan terus menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat di samping memperkukuh hubungan persaudaraan dan persahabatan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan, kesihatan yang berpanjangan serta kesejahteraan kepada semua ahli Tim 55, di samping berharap agar ukhuwah yang terjalin akan terus berkekalan.