Siaran Akhbar dan Foto : HiTUNE Group of Companies
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. - Kejohanan Brunei Youth League (BYL) U16 bagi Edisi 2026-2027 anjuran Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) menyaksikan Pasukan Elnour Hitune FA membuka tirai saingan dengan langkah kanan selepas membelasah Pasukan Indera SC dengan jaringan 5 - 0 yang berlangsung di Padang FABD ‘B’, Berakas, di sini.
Skuad Elnour Hitune FA tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan menerusi tekanan awal minit sehingga menerima hadiah sepakan penalti menerusi Muhd. Zainul Ashraff pada minit ke-17 dan Muhd. Alif Hamizan memberi kelebihan buat Elnour Hitune FA untuk kedudukan 2 - 0 pada minit ke-29.
Indera SC terus gundah apabila jaring mereka bolos lagi pada minit ke-59 menerusi rembatan kencang Muhd. Amir Amsyar.
Sekalipun Indera SC mula bangkit memberi cabaran, namun barisan kerusi panjang Indera SC tergamam menyaksikan gawang mereka digegarkan pada minit ke-69 menerusi Muhd. Zainul Ashraff dan Muhd. Alif Hamizan memastikan skuad Elnour Hitune FA menang besar pada minit ke-72.
Jurulatih Elnour Hitune FA, Muhamad Najib Daud melahirkan rasa syukur atas kemenangan sulung itu dan bangga dengan persembahan pemain-pemain mudanya.
Menurutnya, kemenangan itu merupakan hasil kerja keras yang turut didorong oleh sokongan dan komitmen keluarga para pemain yang menjadi tonggak utama kepada semangat pemain.
"Saya menghargai komitmen keluarga pemain yang sentiasa berada di belakang pasukan. Mereka adalah tonggak utama semangat pemain. Tanpa sokongan keluarga, sukar untuk pemain memberi tumpuan dan beraksi dengan keyakinan sebegini," jelasnya.
Beliau berharap pemain-pemain tidak leka dengan kejayaan sulung itu malah akan terus berusaha gigih untuk memantapkan pasukan bagi perlawanan liga seterusnya.
Sementara itu, Pasukan Kasuka Ar Rawda FC menewaskan Pasukan Admirul Redstar FC dengan jaringan 6-0 dan Pasukan PBDBM sekadar seri dengan pasukan Projek Ikan Pusu (PIP) dengan jaringan 1 - 1.