Oleh: Pg. Syi'aruddin Pg. DauddinFoto: Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Tangkap Layar RTBgo
TERENGGANU, Jumaat, 20 November. - Pemain penyerang berasal dari Brazil, Dalberto muncul wira bagi DPMM FC selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang Terengganu FC yang berakhir dengan keputusan 1 - 2 pada siri perlawanan Liga Super Malaysia 2026/2027 yang berlangsung malam tadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC mengawal permainan dengan baik serta melakukan serangan bertubi-tubi, namun pertahanan pasukan tuan rumah berjaya mematahkan setiap serangan yang dilakukan oleh pasukan pelawat.
Terengganu FC kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol DPMM FC menjatuhkan pemain penyerang pasukan tuan rumah di dalam kotak penalti.
Victor Ruiz seterusnya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti tersebut pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua, DPMM FC terus mengawal permainan dengan baik dan berjaya menjaringkan gol menerusi Dalberto sendiri selepas menerima umpan 'cut back' daripada Miguel Oliveira pada minit ke-49.
Kedua-dua pasukan kemudiannya masing-masing mencuba menjaringkan gol menerusi Miguel Oliveira pada minit ke-70 dan Kamsoba pada minit ke-74, namun kedua-dua percubaan tersebut gagal menemui gawang pihak lawan.
Dalberto sekali lagi menunjukkan taringnya apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan bagi DPMM FC pada minit ke-81 selepas melakukan gerakan solo sambil mengatasi pemain pertahanan pasukan tuan rumah dengan kekuatan fizikal dan seterusnya menjaringkan gol dengan mudah.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 1 - 2 apabila pengadil meniupkan wisel penamat.
DPMM FC kini menduduki tempat keempat dalam carta liga dengan 15 mata setelah memenangi empat perlawanan terakhir.