Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
JERUDONG, Sabtu, 21 November. – DPMM FC II mencatatkan kemenangan besar selepas membenam Lun Bawang FC dengan keputusan 12-0 pada perlawanan minggu kelapan Liga Super Brunei (BSL) Musim 2026/2027 yang berlangsung malam tadi di Stadium Mini Jerudong Park.
Abdul Azim Abdul Rasid muncul sebagai penjaring terbanyak perlawanan dengan menyumbat empat gol, manakala Kaua Santana Santos Da Silva pula mencipta hatrik bagi membantu DPMM FC II meraih kemenangan bergaya.
Dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu, DPMM FC II hanya memerlukan 10 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Abdul Azim, sebelum Azwan Mohammad Saleh menggandakan kedudukan pada minit ke-14.
Abdul Azim sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-17, sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-44 untuk meletakkan DPMM FC II di hadapan dengan kedudukan 4-0.
DPMM FC II terus menambah satu lagi gol menerusi jaringan sendiri pemain Lun Bawang FC, Mohamad Ehsan Haji Moksin, pada minit pertama masa tambahan separuh masa pertama, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan lima gol tanpa balas.
Memasuki separuh masa kedua, DPMM FC II terus menambah jaringan menerusi Abdul Azim pada minit ke-47, sebelum Muhammad Razimie Ramli meledak gol ketujuh pasukannya pada minit ke-50.
Kaua Santana kemudian mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-69 dan ke-81, sekali gus menjadikan kedudukan 9-0.
Muhamad Faturrahman Embran pula menyumbat gol ke-10 pada minit ke-85, diikuti jaringan Jefferson Silva Dos Santos pada minit ke-89.
Kaua Santana sekali lagi melengkapkan hatriknya pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua untuk memastikan DPMM FC II menutup perlawanan dengan kemenangan 12-0 tanpa balas.
Perlawanan berkenaan turut menyaksikan dua pemain DPMM FC II, iaitu Awangku Amirul Umar Pengiran Saiful Rizal dan Muhammad Razimie Ramli, masing-masing dilayangkan kad kuning pada minit ke-27 dan ke-62.
Kemenangan tersebut membolehkan DPMM FC II mengutip tiga mata penuh, manakala Lun Bawang FC terpaksa akur dengan kekalahan tanpa sebarang jaringan.