Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
JOHOR, MALAYSIA, Isnin, 9 November. - Johor Darul Ta'zim (JDT) FC pada malam tadi berjaya mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala FA Malaysia 2026/2027 selepas menewaskan DPMM FC dengan keputusan agregat 8-1.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, JDT FC mempamerkan aksi menyerang yang cukup berkesan apabila berjaya menghasilkan enam jaringan dalam perlawanan separuh akhir kedua.
Jaringan pembukaan JDT FC hadir pada minit ke-27 menerusi João Figueiredo yang berjaya menyempurnakan peluang bagi meletakkan pasukannya di hadapan.
Bagaimanapun, DPMM FC tidak mudah mengalah apabila Jordan Murray berjaya mencetak nama sebagai penjaring tunggal pasukan itu pada minit ke-49, sekali gus memberikan harapan buat sjuad DPMM FC untuk bangkit.
Namun, JDT FC terus menguasai permainan pada separuh masa kedua apabila Manuel Hidalgo menggandakan kelebihan pada minit ke-59 sebelum Oscar Arribas menambah jaringan ketiga hanya lima minit kemudian.
Dua minit selepas itu, Jairo da Silva turut mencatat nama selaku penjaring apabila meledak gol keempat JDT FC pada minit ke-66.
JDT FC terus mengasak kubu pertahanan lawan apabila Daniesh Amirruddin berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88, sekali gus menjadikan kedudukan 5-1.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Marcos Guilherme melengkapkan kemenangan JDT FC menerusi jaringan keenam pada minit ke-90+3, sekali gus memastikan kemenangan 6-1 dalam perlawanan tersebut, sekali gus mencatatkan kemenangan agregat 8-1.