Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 14 November. - Kontinjen Daerah Brunei dan Muara (DBM) terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V) Tahun 2026 apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara bola sepak selepas menewaskan pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan keputusan 1 - 0, yang berlangsung semalam.
Kemenangan tersebut diraih pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, sekali gus mengesahkan DBM sebagai juara bagi acara berkenaan.
Muhammad Akram Waqeel muncul wira pasukan DBM apabila berjaya menjaringkan gol tunggal pada separuh masa pertama, sekali gus menjadi penentu kemenangan pasukannya.
Perlawanan akhir berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dengan saling melancarkan serangan dalam usaha memburu jaringan. Bagaimanapun, kelebihan satu gol DBM kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Walaupun berusaha untuk menyamakan kedudukan, MS ABDB gagal menembusi benteng pertahanan DBM sehingga wisel penamat dibunyikan.
Hadir menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan rekod cemerlang DBM sepanjang kejohanan apabila menamatkan saingan di kedudukan teratas carta dengan mengumpul 12 mata selepas memenangi kesemua empat perlawanan.
DBM juga mencatatkan 27 jaringan gol dan hanya dibolosi dua gol, sekali gus menghasilkan perbezaan jaringan sebanyak 25 gol.
Sementara itu, kontinjen Daerah Tutong berjaya meraih pingat perak dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi enam mata bersama MS ABDB yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, serta wakil-wakil pegawai daripada kontinjen yang bertanding.