BSU Diva Bowlers, Mujahid Strike juarai Kejohanan Tenpin Boling

16 Nov 2026 - 7:31am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Pasukan BSU Diva Bowlers (JPI 2) bagi Kategori Perempuan dan Pasukan Mujahid Strike (Bahagian Pendidikan Umum Pendidikan Islam) bagi Kategori Lelaki muncul juara pada Kejohanan Tenpin Boling sempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal bertempat di iBowl Utama Bowling, Batu Satu, hari ini.

Terdahulu, hadir bagi membuat lontaran pembukaan ialah Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.

Sempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, pelbagai aktiviti telah diungkayahkan bagi memeriahkan sambutan bersejarah tersebut, termasuk beberapa acara kesukanan seperti futsal, badminton dan bola jaring.

Pengisian seumpama ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para peserta untuk bergiat aktif dalam bidang sukan, malah turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal.

Sehubungan itu, bagi meneruskan pengisian aktiviti kesukanan berkenaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Kejohanan Tenpin Boling yang melibatkan penyertaan jabatan-jabatan dan institusi-institusi di bawah KHEU serta beberapa jabatan dan institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.

Kejohanan ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh perpaduan dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada kejohanan yang telah bermula pada 16 Oktober 2026, dengan penyertaan sebanyak 88 pasukan yang terdiri daripada 46 pasukan lelaki dan 42 pasukan perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Penganjuran kejohanan ini turut mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama antara warga kedua-dua kementerian dalam menjayakan pengisian Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, selaras dengan temanya iaitu ‘Ukhuwah Kukuh, Pendidikan Teguh’.