Oleh : Khartini Hamir
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
TUTONG, Isnin, 9 November. – Pertandingan badminton acara berpasukan sempena Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tutong hari ini menyaksikan persaingan sengit antara kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian.
Dalam perlawanan sebelah pagi bagi Kumpulan ‘A’, pasukan Daerah Temburong berjaya menewaskan pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan kutipan mata 4-1.
Sementara itu, bagi Kumpulan ‘B’ pula, pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) berjaya mencatat kemenangan apabila menewaskan pasukan Daerah Tutong dengan keputusan 5-0.
Pada sebelah petang tadi, perlawanan diteruskan dengan menyaksikan pasukan Daerah Temburong tewas kepada pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) dengan keputusan 0-5 bagi Kumpulan ‘A’.
Manakala dalam Kumpulan ‘B’ pula, pasukan Daerah Tutong berjaya bangkit mencatat kemenangan apabila menewaskan pasukan Daerah Belait dengan kutipan mata 3-2.
Sepanjang pertandingan berlangsung, para pemain memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi menerusi aksi permainan yang kompetitif, selain mempamerkan ketangkasan, strategi dan kerjasama yang baik dalam setiap perlawanan.
Pertandingan badminton acara berpasukan berkenaan akan diteruskan esok, 10 November 2026, dengan menyaksikan pertemuan antara pasukan MS ABDB menentang MSSBD, manakala pasukan DBM akan berentap dengan pasukan Daerah Belait.
Pada sebelah petang pula, pertandingan dijangka menyaksikan perlawanan peringkat separuh akhir pertama dan kedua bagi menentukan pasukan yang akan mara ke peringkat akhir.
Sementara itu, perlawanan akhir acara badminton berpasukan dijadualkan berlangsung pada Rabu, 11 November 2026, bertempat di gelanggang pertandingan Kompleks Sukan Tutong.
Acara badminton merupakan antara sukan yang dipertandingkan dalam SKBD Ke-V 2026 yang membawa tema ‘Bersama Mengejar Kegemilangan’, sekali gus menjadi platform bagi para atlet untuk memperlihatkan keupayaan, meningkatkan prestasi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan kontinjen yang bertanding.
Acara berkenaan juga diharap akan dapat menyemarakkan lagi pembangunan sukan badminton di negara ini, di samping mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.