Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Taekwondo Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. – Persatuan Taekwondo Negara Brunei Darussalam (BDTA) dengan sukacitanya mengumumkan penyertaan serta pencapaian membanggakan pasukan taekwondo kebangsaan pada Kejohanan Taekwondo Kelab Asia Ke-14 (14th Asian Club Taekwondo Championships 2026), yang berlangsung pada 11 hingga 15 November 2026 di Indoor Stadium Sport Center, Jakarta, Republik Indonesia.
Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Naib Presiden BDTA, Master Nikman Waie, merangkap Ketua Jurulatih Kebangsaan; dengan diiringi oleh Jurulatih Azka Ibrahim serta tiga atlet kebangsaan bagi acara Kyorugi (pertarungan), yang mewakili NBD di persada antarabangsa, iaitu Muhammad Abrar Haji Bakar @ Muhammad Bisyukri, Claral Goh, dan Muhammad Alwi Naqiuddin Md. Nordi.
Kejohanan Taekwondo Kelab Asia Ke-14 merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa yang mendapat pengiktirafan World Taekwondo (WT) dan dikategorikan sebagai kejohanan bertaraf G1.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan atlet daripada 24 buah negara di seluruh Asia, sekali gus menyediakan platform persaingan antarabangsa yang kompetitif kepada para peserta untuk berentap di peringkat yang diiktiraf antarabangsa, mengumpul mata ranking yang berharga, mengukur keupayaan masing-masing berbanding atlet serantau dan antarabangsa serta meningkatkan pengalaman bertanding.
Kejohanan itu turut mencatatkan detik yang amat membanggakan dan bersejarah bagi sukan taekwondo NBD apabila Claral Goh mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara Virtual Taekwondo. Dengan memperlihatkan keazaman, ketenangan dan semangat juang yang tinggi sepanjang pertandingan, Claral Goh berjaya mara ke peringkat akhir sebelum meraih pingat perak.
Pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan penting bagi negara apabila Claral Goh muncul sebagai pemenang pingat perak dalam acara Virtual Taekwondo di kejohanan antarabangsa bertaraf G1 yang mendapat pengiktirafan WT.
Kejayaan berkenaan bukan sahaja meletakkan nama NBD di podium antarabangsa, malah mencerminkan peningkatan keupayaan serta potensi atlet taekwondo negara dalam disiplin pertandingan yang semakin berkembang.
Sebagai pengiktirafan terhadap keazaman, sikap kompetitif dan semangat kesukanan yang ditunjukkannya, Claral Goh turut dianugerahkan Trofi ‘Good Fighting Spirit’ bagi acara Kyorugi (pertarungan), sekali gus menyerlahkan lagi prestasi membanggakan beliau sepanjang kejohanan berkenaan.
Menambah lagi pencapaian negara, Muhammad Alwi Naqiuddin turut mempamerkan aksi yang membanggakan dalam Kategori Kyorugi Lelaki +87 Kilogram, apabila berjaya meraih pingat gangsa bagi NBD.
Pencapaian tersebut mencerminkan keazaman, ketabahan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh kontinjen negara sepanjang kejohanan, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran NBD dalam arena pertandingan Kyorugi di peringkat antarabangsa.
Pencapaian-pencapaian berkenaan merupakan satu langkah penting ke hadapan bagi perkembangan sukan taekwondo di NBD. Keupayaan atlet negara untuk bersaing dan meraih kedudukan podium dalam kejohanan bertaraf G1 yang diiktiraf WT membuktikan peningkatan daya saing atlet kebangsaan serta pentingnya pendedahan berterusan di peringkat antarabangsa.
Selain pencapaian pingat dan pengiktirafan individu, penyertaan dalam kejohanan tersebut turut memberikan pengalaman yang amat berharga, meningkatkan keyakinan atlet ketika bertanding serta memperkukuh komitmen BDTA dalam melahirkan atlet yang berupaya bersaing pada tahap pertandingan antarabangsa yang lebih tinggi.
BDTA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Claral Goh dan Muhammad Alwi Naqiuddin atas pencapaian cemerlang mereka. Khususnya, kejayaan Claral Goh meraih pingat perak dalam acara Virtual Taekwondo merupakan satu detik yang amat membanggakan bagi negara serta langkah positif ke arah perkembangan masa depan sukan berkenaan di NBD.
Persatuan berkenaan juga merakamkan penghargaan kepada Muhammad Abrar @ Muhammad Bisyukri atas komitmen, dedikasi dan sumbangan beliau dalam mewakili negara sepanjang kejohanan tersebut.
BDTA akan terus komited dalam mewujudkan laluan pembangunan atlet yang mampan, memperluas peluang pendedahan di peringkat antarabangsa serta memperkukuh kedudukan NBD dalam komuniti taekwondo global.
BDTA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) atas sokongan berterusan serta komitmen dalam mendukung pembangunan atlet taekwondo di NBD.
Sokongan sedemikian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang kepada atlet negara untuk menyertai pertandingan antarabangsa, menimba pengalaman berharga serta berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam bidang sukan.
Seiring dengan perjalanan pasukan kebangsaan dalam arena antarabangsa, BDTA akan terus teguh melaksanakan misinya untuk memupuk kecemerlangan sukan, melahirkan juara masa depan serta mengharumkan nama NBD dengan penuh kebanggaan, disiplin dan integriti.
Satu detik kebanggaan bagi negara, satu pencapaian bermakna buat atlet, satu langkah ke hadapan bagi masa depan sukan taekwondo NBD.