Atlet olahraga negara mara ke peringkat akhir 200m

12 Nov 2026 - 4:39am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026

DAKAR, SENEGAL, Rabu, 11 November. - Atlet olahraga negara, Muhd. Nazul Putera Faeiz Firdaous @ Muhammad Nazyl Putera Faeiz Syurgawi bin Fakhri Zul Khairi mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 200 meter (m) pada temasya Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 (4th Youth Olympic Games 2026) di Dakar, Senegal.

Dalam perlumbaan yang berlangsung hari ini, beliau mencatatkan masa 22.27 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik (Personal Best) berbanding catatan sebelumnya, iaitu 23.03 saat.

Peningkatan sebanyak 0.76 saat itu membuktikan perkembangan positif prestasi beliau dalam acara berkenaan.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut melakar sejarah tersendiri apabila Muhd. Nazul Putera Faeiz Firdaous @ Muhammad Nazyl Putera Faeiz Syurgawi menjadi atlet olahraga pertama Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berjaya mara ke peringkat akhir acara 200m pada temasya sukan berprestij itu.

Pencapaian berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah mencerminkan kesungguhan, komitmen dan usaha berterusan beliau dalam mengharumkan nama NBD di persada sukan antarabangsa.

Sehubungan itu, seluruh kontinjen negara serta rakyat NBD diharap akan terus memberi sokongan dan semangat kepada Muhd. Nazul Putera Faeiz Firdaous @ Muhammad Nazyl Putera Faeiz Syurgawi menjelang perlumbaan akhir nanti.