Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Persatuan Belia Lumapas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 November. - Persatuan Belia Lumapas (PERLU) pagi tadi telah menganjurkan aktiviti riadah berjalan kaki yang bermula dari kawasan bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menuju ke Bandar Seri Begawan.
Aktiviti berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 50 peserta yang terdiri daripada penduduk Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Lumapas 'B', ahli-ahli PERLU serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas 'A'.
Yang Dipertua PERLU, Awang Haji Abu Samah Shukri bin Haji Mohd. Hussein, yang juga Penasihat MPK Lumapas 'A', menjelaskan bahawa aktiviti berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Sukan PERLU dan merupakan program sulung persatuan itu sejak pelantikan Jawatankuasa PERLU yang baharu pada Oktober 2026.
Beliau menzahirkan rasa bangga atas sambutan yang diterima, khususnya dengan penyertaan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat kampung.
Menurut beliau, sambutan tersebut jelas mencerminkan semangat kebersamaan serta sokongan penduduk dalam sama-sama menghidupkan aktiviti belia dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Turut hadir memeriahkan aktiviti itu ialah Ketua Kampung Lumapas 'A', Awang Mohammad Asrin bin Haji Bakar, yang juga Penaung PERLU; Setiausaha Agung PERLU, Awang Jumat bin Md Daud; serta Ketua Bahagian Sukan PERLU, Awang Haji Sufri bin Haji Matassan.
Melalui penganjuran aktiviti seumpama itu, PERLU berharap agar lebih banyak program riadah, kesukanan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif, aktiviti berkenaan juga diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan serta menggalakkan lebih ramai golongan belia dan penduduk kampung untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan persatuan.
Sambutan positif yang diterima melalui aktiviti sulung itu juga diharap menjadi pemangkin kepada penganjuran program-program yang lebih menarik, inklusif dan bermanfaat demi kemajuan golongan belia serta kesejahteraan masyarakat Kampung Lumapas.