Tingkatkan kesedaran, perkasa masyarakat jaga kesihatan jantung

30 Sep 2026 - 11:33am

PENYAKIT kardiovaskular, termasuk penyakit jantung dan strok, kekal menjadi antara punca utama kematian dan ketidakupayaan di Negara Brunei Darussalam.

Keadaan ini berkait rapat dengan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol yang tinggi, obesiti, penggunaan tembakau dan vape, pemakanan tidak sihat serta kurang melakukan aktiviti fizikal dan sebahagian besar faktor risiko ini boleh dicegah atau dikawal melalui perubahan gaya hidup dan rawatan yang bersesuaian.

Demikian antara yang dinyatakan dalam perutusan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 September 2026 yang bertemakan 'Penyakit Jantung Boleh Berlaku Tanpa Disedari : Jangan Terlepas Satu Degupan' (Heart Disease Can Hide in Plain Sight: Don’t Miss a Beat), membawa mesej bahawa penyakit jantung boleh berkembang tanpa disedari, manakala faktor risikonya pula mungkin tidak diketahui atau tidak dikawal.

Dalam perutusan, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai kepeningan penjagaan kesihatan jantung dengan lebih baik dan perlu diamalkan antaranya (i) Ketahui Nombor Kesihatan Awda : Ketahui bacaan tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah awda. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di pusat kesihatan yang berdekatan kerana dengan mengetahui bacaan-bacaan ini, awda dapat memahami dan mengurus risiko kesihatan dengan lebih baik; ii. Amalkan Gaya Hidup Sihat : Setiap pilihan yang sihat membawa manfaat kepada jantung.

Yang Berhormat turut menambah, Kenali Tanda dan Gejala : Jangan abaikan tanda-tanda amaran seperti sakit atau rasa tidak selesa pada dada, sesak nafas, berpeluh secara tiba-tiba, pening atau keletihan luar biasa. Jika awda atau seseorang di sekeliling awda mengalami gejala tersebut, hubungi Talian Ambulans EMAS 991 dengan segera.

Selain itu, pendekatan pencegahan hendaklah terus diperkukuhkan lagi melalui kerjasama strategik dengan sekolah, tempat kerja dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan, serta memperkasa masyarakat untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan jantung.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan integrasi dan kesinambungan penjagaan merentas perkhidmatan kesihatan asasi, komuniti, kecemasan, kardiologi dan pemulihan jantung bagi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan yang menyeluruh dan berterusan.

 Pada Hari Jantung Sedunia ini, marilah kita menjadikan kesihatan jantung sebagai satu keutamaan. Ketahui risiko kita, jalani pemeriksaan kesihatan, amalkan gaya hidup sihat dan bertindak segera  apabila terdapat tanda-tanda amaran. - Ketua Penyuntingan (Hs)