Mencipta kenangan berharga untuk warga emas

5 Okt 2026 - 2:19pm

WARGA emas merupakan aset yang sangat bernilai bagi sesebuah negara, bukan sahaja kerana jasa dan sumbangan mereka dalam membangun masyarakat dan negara, malah pada pengetahuan dan pengalaman mereka yang boleh dimanfaatkan oleh generasi seterusnya sebagai teladan dan panduan hidup. Tidak dinafikan bahawa kesejahteraan hidup dan pembangunan yang kita nikmati pada masa ini adalah hasil titik peluh generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.

Justeru pada usia warga emas ini, hargailah dan sayangilah mereka kerana pada usia begini, mereka hanya mengharapkan kasih sayang, perhatian serta teman. Mereka bukan beban, mereka amanah yang menjadi tanggungjawab kita untuk memeduli serta menyayangi mereka. Mereka pernah menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Kini giliran kita menjaga mereka dengan penuh penghargaan. Mereka harus dihormati dan diberi perhatian, serta hak dan keperluan mereka perlu dijaga demi memastikan kelangsungan kualiti kehidupan mereka yang lebih bermakna.

Walaupun mereka sudah di ambang usia lanjut tetapi merekalah yang sudah pernah berjuang dahulu sehingga akhirnya kita ada ketika ini. Segala pengorbanan serta kasih sayang yang mereka curahkan seharusnya dibalas dengan kasih yang sama apatah lagi pada masa-masa ini mereka hanya perlukan orang terdekat seperti keluarga untuk mengisi masa terluang mereka.

Bagi memastikan warga emas di negara ini kekal sihat, aktif dan melakukan aktiviti yang bersesuaian, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) telah ditubuhkan di keempat-empat daerah. PKWE ini dihasratkan menjadi platform yang berfungsi sebagai satu pusat bagi warga emas menjalankan program khusus untuk pembangunan kepada golongan warga emas. Di sini mereka boleh bertukar-tukar fikiran, melakukan aktiviti bersama seperti riadah, keugamaan, kesihatan, sosial dan lain-lain untuk menghindari kebosanan serta kesunyian kerana anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Tidak dinafikan meskipun usia mereka semakin lanjut, mereka tetap mempunyai perasaan seperti orang lain. Kata-kata kasar, layanan yang dingin atau sikap seolah-olah mengabaikan mereka boleh meninggalkan kesan yang mendalam kerana pada usia begini, mereka lekas sensitif, marah dan kadangkala bersikap seperti anak kecil. Tetapi kita sebagai ahli keluarga perlu sedar bahawa mereka ini hanya mahu dihargai, didengari dan dirasai kehadiran mereka masih bermakna.

Akhirnya, sangat penting menghargai dan memberi perhatian kepada golongan warga emas. Generasi muda disarankan untuk meluangkan masa bersama warga tua bagi menghilangkan perasaan kesunyian dan kurang kasih sayang. Ciptalah kenangan bersama ahli keluarga yang berusia lanjut kerana ianya pasti akan menjadi memori yang sangat berharga kelak. Perlu ditekankan juga pentingnya menghormati dan menjaga perasaan warga tua melalui kelakuan, tingkah laku, kata-kata agar mereka berasa disayangi dan bukan sebagai beban kepada ahli keluarga. - Ketua Penyuntingan (Ri)