SEBELUM ini, Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) hanya wujud dalam filem fiksyen sains. Namun sekarang, AI bukan lagi teknologi masa depan. Ia sudah berada di sini dan berkembang lebih laju daripada yang kita jangka.
Apa yang menjadikan AI begitu berpengaruh? Jawapannya sangat mudah; ia memudahkan hidup kita. Bayangkan, jika sebelum ini kita memerlukan masa berjam-jam untuk mencari maklumat, menulis laporan atau menganalisis data, kini semuanya boleh dilakukan dalam beberapa minit sahaja.
Aplikasi seperti ChatGPT, Copilot atau Qwen membantu kita merangka ayat, merumuskan artikel, serta memberi idea kreatif yang kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir.
Bagi pelajar dan penyelidik, AI mempercepatkan proses penulisan dan analisis akademik. Bagi usahawan pula, AI membantu memahami tingkah laku pelanggan, meramal trend pasaran dan merancang strategi pemasaran yang lebih tepat.
Malah, bagi mereka yang sibuk, AI membantu mengurus jadual, menyiapkan tugasan rutin dan menjawab e-mel harian. Pendek kata, AI ialah rakan kerja digital yang tidak mengenal letih, tidak merungut dan mampu bekerja sepanjang masa.
Namun, di sebalik semua kemudahan ini, ada beberapa perkara penting yang tidak boleh kita ambil ringan, terutamanya berkaitan dengan aspek keselamatan digital. Kita mungkin selalu lupa bahawa setiap kali kita menggunakan aplikasi, kita sebenarnya sedang berkongsi data peribadi.
Maklumat ini sangat berharga, dan jika jatuh ke tangan yang salah, pelbagai risiko boleh berlaku seperti penipuan dalam talian, pencerobohan akaun dan pencurian identiti.
Oleh itu, kita perlu lebih bijak dalam menjaga keselamatan ICT. Perkara mudah seperti menggunakan kata laluan yang kukuh, mengaktifkan pengesahan dua faktor, berhati-hati dengan pautan meragukan dan menyemak kesahihan aplikasi ialah langkah asas yang boleh menyelamatkan kita daripada pelbagai ancaman siber. Ingat, walaupun dunia digital semakin canggih, dalam masa yang sama, penjenayah siber juga semakin kreatif dalam mencari ruang untuk mengambil kesempatan.
Selain memudahkan urusan harian, AI turut membuka banyak peluang pekerjaan baharu. Walaupun ada yang bimbang AI akan mengambil alih kerja manusia, hakikatnya ia lebih kepada mengubah cara kita bekerja daripada menggantikan manusia sepenuhnya.
AI ialah satu bentuk kuasa digital yang memberi impak besar kepada dunia. Teknologi ini membuka ruang untuk kita belajar dengan lebih mudah, bekerja dengan lebih cekap, dan berhubung tanpa sempadan.
Namun, seperti semua teknologi, ia perlu digunakan dengan bijak. Selagi kita memanfaatkannya dengan penuh tanggungjawab, etika dan hemah, teknologi ini mampu menjadi pemangkin perubahan positif yang memberi manfaat untuk semua. – Ketua Penyuntingan (Zk)