Jalan raya hak bersama, utamakan keselamatan

16 Nov 2026 - 10:09am

ISU keselamatan di jalan raya merupakan perkara yang sentiasa mendapat perhatian dalam kehidupan masyarakat. Justeru, etika di jalan raya memainkan peranan penting dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Dengan memahami dan mengamalkan etika semasa memandu, kita dapat menyelamatkan nyawa, mencegah kecederaan dan menghindari kemalangan.

Salah satu aspek penting dalam etika di jalan raya ialah kepatuhan terhadap peraturan lalu lintas. Dengan mematuhi peraturan lalu lintas, kita dapat memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan.

Selain daripada itu, kecuaian semasa memandu juga merupakan punca utama kemalangan jalan raya. Memandu sambil menggunakan telefon bimbit, mengantuk semasa memandu atau memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat adalah antara contoh yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain di jalan raya. Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu dan mengelakkan sebarang gangguan yang boleh mengurangkan kepekaan atau hilang fokus semasa memandu.

Sikap bertimbang rasa dan bertolak ansur juga merupakan ciri-ciri penting dalam etika di jalan raya. Memberi laluan kepada orang lain, sentiasa bersabar semasa berada dalam kesesakan trafik, bertoleransi di jalan raya adalah sikap-sikap yang penting untuk memastikan semua pengguna jalan raya dapat berkongsi di jalan raya dengan selamat.

Etika lalu lintas juga mencakupi sikap saling menghormati dan memperhatikan kepentingan orang lain. Sebagai pemandu kita perlu menghindari perilaku agresif seperti membunyikan hon kereta berlebihan, melanggar lampu merah, atau memandu memotong jalur orang lain.

Seorang pemandu yang berhemah sering kali menghindari daripada menggunakan perkataan kasar. Mengumpat atau memaki pemandu lain boleh memanaskan dan mengeruhkan suasana. Sebaliknya, perbanyakkanlah zikir ketika di jalan dapat menenangkan dan mendatangkan pahala.

Selain itu tindakan sesetengah pemandu yang mengubah suai enjin kereta mereka sehingga menimbulkan beberapa bunyi yang lantang dan besar adalah satu perbuatan yang tidak matang. Cuba bayangkan kesannya kepada keluarga yang mempunyai anak damit yang sukar untuk tidur? Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu diambil tindakan kerana boleh mengganggu ketenteraman awam. Hakikatnya, setiap tindakan kita di jalan raya memberi kesan kepada ramai orang. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati agar tidak menyusahkan orang lain walaupun dalam hal-hal yang kecil.

Kesimpulannya, dengan memahami, menghormati dan mengamalkan etika semasa memandu, kita dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, menyelamatkan nyawa dan mencipta persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna. Oleh itu, adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan bahawa etika di jalan raya sentiasa diutamakan demi keselamatan dan kesejahteraan semua orang. Ingatlah jalan raya hak bersama - Ketua Penyuntingan (Ri)