MULAI 1 Januari 1984, Negara Brunei Darusssalam (NBD) adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala akan untuk selama-lamanya menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang merdeka dan berdaulat bersendikan kepada ajaran-ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan serta dengan petunjuk serta keredaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Peristiwa itu menjadi ristaan dan terpahat dalam tinta sejarah sepanjang zaman yang menandakan MIB sebagai falsafah negara. Nilai-nilai budaya Melayu, ajaran agama Islam dan juga sistem pemerintahan beraja telah menjadi warisan sejarah bangsa negara ini yang diamalkan sehingga ke hari ini yang sekali gus menjadi tonggak pegangan hidup rakyat dan penduduk untuk penyatuan hidup bermasyarakat dan bernegara, tanpa mengira agama, budaya dan latarbelakang sosial.
Komponen MIB saling berkait rapat dan tidak berpisah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di mana komponen Islam diletakkan ditengah-tengah antara Melayu dan Beraja yang berperanan penting umpama ‘nyawa’ atau ‘nadi’ MIB.
Manakala hubungan di antara Islam dengan Melayu dan Beraja saling berkait untuk memberi jaminan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat dan penduduk di negara ini dalam sama-sama mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan NBD yang bersendikan ajaran Islam menurut akidah Ahli Sunnah Waljamaah, berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan dengan petunjuk dan reda Allah Subhanahu Wata’ala.
NBD adalah sebuah negara Melayu yang mengandungi tujuh puak jati iaitu Melayu Brunei, Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut. Dengan kata lain, bangsa Melayu merupakan bangsa yang mendominasi keramaian penduduk dengan unsur pemerintahan dan kebudayaan serta kegiatan hariannnya berlandaskan falsafah MIB dengan mengamalkan nilai-nilai tradisi atau kebudayaan Melayu seperti sikap kekitaan, kemuafakatan, hormat-menghormati dan bertolak-ansur serta bertoleransi berlandaskan Islam.
Kesucian Islam sebagai satu-satunya agama rasmi di bumi Darussalam ini telah menjadi teras pemerintahan Kesultanan Brunei sejak kehadiran Sultan Sharif Ali menjadi Sultan Brunei Ketiga yang dikenali dengan gelaran ‘Sultan Berkat’ dan pewaris-pewarisnya telah mengukuhkan lagi perkembangan syiar Islam di negara ini dan perlaksanaan hukum-hukum Islam bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis menjadi warisan bangsa Brunei masa kini.
Dalam falsafah MIB, raja dan rakyat itu berpisah tiada. Itulah kata-kata yang selayaknya menggambarkan betapa eratnya hubungan antara pemimpin dengan yang dipimpin demi satu matlamat untuk membangun negara ke mercu kejayaan di dunia dan akhirat.
Dalam meniti hari yang penuh berliku-liku ini, kita sememangnya tidak dapat lari daripada menerima cabaran dan hambatan dalam semua aspek kehidupan yang sentiasa mengalami kepesatan dalam era globalisasi ini.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama sebagai rakyat dan penduduk NBD untuk mengukuhkan pengamalan dan penghayatan nilai-nilai MIB bagi menghakis dan membanteras anasir-anasir yang mampu mengganggu-gugat keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. – Ketua Penyuntingan (Zk)