Berselawat adalah doa dan sanjungan kita buat Rasulullah

15 Og 2026 - 1:50pm

UMAT Islam di seluruh dunia memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada setiap 12 Rabiulawal. Di Negara Brunei Darussalam, kita juga tidak ketinggalan turut menyemarakkan sambutan ini dengan pelbagai acara keagamaan yang diatur rapi.

Antara acara yang menjadi tradisi ialah negara akan memeriahkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan laungan Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah di seluruh negara. Di samping itu, majlis ceramah keagamaan, forum ilmiah dan acara kemuncak Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara turut dilangsungkan dengan penuh penghayatan. Segala usaha dan kegiatan kita ini merupakan tanda kecintaan dan penghormatan kita terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sehubungan dengan itu, kita sebagai umat Islam sudah selayaknya mencintai dan mengasihi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikuti dan mematuhi sunnah yang dibawa oleh Baginda. Antara tanda cinta dan kasih yang boleh kita zahirkan adalah dengan membasahi lidah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda.

Agama kita menuntut umatnya supaya mengingati Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan berselawat kerana berselawat merupakan doa dan sanjungan kita terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Ahzab, ayat 56 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan.

Sesungguhnya selawat daripada Allah bererti rahmat dan keredaan-Nya untuk Baginda, selawat daripada malaikat bererti doa dan memohonkan ampun untuk Baginda dan selawat daripada umat Islam bererti doa memohon supaya Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda.

Oleh yang demikian, perbanyakkanlah berselawat ke atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kerana amalan berselawat tidaklah terhad pada waktu, bulan atau musim tertentu sahaja. Selawat ke atas Baginda adalah perkara besar, perkara agung, perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh kita selaku umat Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Ia merupakan ikutan yang menghubungkan seorang Mukmin dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bagi menterjemah perasaan kecintaan, kerinduan dan kasih sayang terhadap Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sama-samalah kita membasahi lidah kita dengan membanyakkan selawat kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, mudah-mudahan selawat yang kita amalkan dengan rasa kasih sayang itu kita akan beroleh syafaat daripada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat kelak, Amin Ya Rabbal Alamin. – Ketua Penyuntingan (Ad)