BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107 :
Tafsirnya : “Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Alhamdulillah, kita kini melangkah ke bulan Rabiulawal iaitu bulan ketiga dalam kiraan takwim Hijrah, bagi seluruh umat Islam di bulan ini tercatat satu detik agung dalam sejarah umat manusia iaitu lahirnya insan mulia, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pembawa cahaya yang menyinari dunia dan rahmat yang dinikmati, melimpah merentasi sempadan tempat dan waktu, tanpa mengira bangsa dan negara, malah merangkumi ke seluruh alam.
Lebih 1400 tahun yang lalu, Allah Subhanahu Wata’ala telah mengutus Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai pembawa risalah Islam untuk memandu umat manusia menuju kejayaan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat. Dengan berbekalkan ketabahan, kebijaksanaan dan hikmah dalam berdakwah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya menyampaikan dan menyebarluaskan risalah Islam sehingga terus berkembang serta menjadi pedoman umat manusia hingga ke hari ini.
Sebagai tanda kemuliaan, Allah Subhanahu Wata’ala telah mengangkat darjat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke kedudukan yang tiada bandingnya, istimewa dan mulia di sisinya. Bagi umat Islam pula, Baginda bukan sahaja sentiasa mendapat tempat di hati, mekar dalam ingatan, malah dikasihi, dicintai dan disanjungi sebagai insan teragung dan teladan sepanjang zaman.
Umat Islam di seluruh dunia memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada setiap 12 Rabiulawal. Di Negara Brunei Darussalam, kita juga tidak ketinggalan turut menyemarakkan sambutan ini dengan pelbagai acara keagamaan yang diatur rapi.
Antara acara yang menjadi tradisi ialah negara akan memeriahkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan laungan Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah di seluruh negara. Di samping itu, majlis ceramah keagamaan, forum ilmiah dan acara kemuncak Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara turut dilangsungkan dengan penuh penghayatan. Segala usaha dan kegiatan kita ini merupakan tanda kecintaan dan penghormatan kita terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sehubungan dengan itu, kita sebagai umat Islam sudah selayaknya mencintai dan mengasihi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikuti dan mematuhi sunnah yang dibawa oleh Baginda. Antara tanda cinta dan kasih yang boleh kita zahirkan adalah dengan membasahi lidah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda. Kerana berselawat itu, selain mempunyai fadilat, ia juga merupakan bahagian daripada perintah Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Ahzab, ayat 56 :
Tafsirnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawat kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan”.
Sesungguhnya selawat daripada Allah Subhanahu Wata’ala bererti rahmat dan keredaan-Nya untuk Baginda, selawat daripada malaikat bererti doa dan memohonkan ampun untuk Baginda dan selawat daripada umat Islam bererti doa memohon supaya Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda.
Dalam hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, terdapat banyak keterangan tentang kelebihan dan ganjaran yang dikurniakan kepada mereka yang berselawat ke atas Baginda. Antara kelebihan tersebut ialah :
Pertama : Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada hari kiamat kelak. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Maksudnya : “Seutama-utama manusia di sisiku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku”. (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)
Kedua : Ganjaran selawat dilipatgandakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Maksudnya : “Siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat dan Allah hapuskan daripadanya 10 kesalahan”. (Hadis Riwayat An-Nasaie)
Melihat kepada betapa banyaknya ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang berselawat, alangkah ruginya jika kita tidak memperbanyakkan selawat serta menjadikannya sebagai zikir harian dan amalan yang berterusan dalam kehidupan seharian. Selain itu, apabila kita mendengar nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam disebut, maka sewajarnya kita segera berselawat ke atas Baginda. Dalam sebuah hadis daripada Ali bin Abu Talib Radiallahuanhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda :
Maksudnya : “Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, maka dia tidak berselawat kepadaku”. (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)
Bersempena dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, marilah kita bersama-sama mendalami serta menghayati sirah kehidupan dan pengorbanan Baginda. Dengan memahami perjalanan hidup Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, akan tumbuh subur di dalam hati kita rasa cinta dan rindu terhadap Baginda, seterusnya memudahkan kita untuk menjadikan selawat sebagai amalan yang berterusan.
Sesungguhnya beruntunglah umat Islam yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan selawat dan menjadikannya amalan harian pada setiap waktu dan ketika, sepanjang hayat. Akhirnya, bersempena kedatangan bulan kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini marilah kita luruskan niat dan berazam untuk sentiasa memperbanyakkan selawat kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Mudah-mudahan, berkat selawat yang kita amalkan dengan ikhlas akan menjadi sebab kita meraih syafaat Baginda di hari akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.
Tafsirnya : “Katakanlah (wahai Nabi Muhammad) : Wahai manusia! Sesungguhnya aku ialah rasul Allah kepada kamu semua, yang baginya kuasa pemerintahan langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu berimanlah kepada Allah dan rasul-Nya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab) dan ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk”. (Surah Al-A’raf, ayat 158)