BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Sesungguhnya salah satu rahmat Allah Subhanahu Wata'ala yang kita nikmati dan syukuri pada hari ini ialah nikmat Islam dan iman. Nikmat itu tidak datang dengan mudah dan tidak diperoleh dengan senang bahkan ia hadir melalui perjuangan yang amat berat, menuntut pengorbanan yang besar serta penderitaan yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda diutus bersama risalah Islam, menyebarkan rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Anbiya, ayat 107 :
Tafsirnya : "Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".
Sejarah Islam mencatatkan bahawa perjalanan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan perjuangan yang berliku-liku penuh dengan ujian, kesabaran dan pengorbanan yang luar biasa. Baginda tidak hanya berdakwah dengan kata-kata tetapi juga menzahirkannya melalui dengan keteladanan dan ketabahan hati yang melampaui batas kemampuan manusia biasa.
Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menerima perintah untuk berdakwah secara terang-terangan, reaksi kaum Quraisy yang takut kehilangan kedudukan dan tradisi nenek moyang mereka sangat mendukacitakan. Seruan Baginda disambut dengan kebencian yang mendalam. Bayangkanlah selama tiga tahun, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama keluarga Bani Hashim, Bani Al-Mutalib dan pengikut Baginda disisih dan dipulaukan di Syi'ib Abi Talib. Mereka dilarang berjual beli, segala talian ekonomi diputus dan interaksi dengan orang lain disekat, sehingga mereka terpaksa memakan daun-daunan dan kulit kayu untuk bertahan hidup kerana kelaparan yang sangat hebat.
Tiada hari tanpa ujian bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda sering dicaci, dihina, malah diperlakukan dengan kasar. Kemuncak kezaliman mereka, apabila suatu ketika Baginda sedang sembahyang di depan Kaabah, kaum Quraish dengan hati yang busuk telah meletakkan kotoran dan isi perut unta yang telah disembelih di atas belakang Baginda ketika Baginda sedang sujud. Sungguhpun keterlaluan perbuatan mereka itu, Baginda tetap tabah dan sabar menerima penghinaan ini.
Lebih kurang 13 tahun berdakwah di Mekah, pelbagai peristiwa telah Baginda alami, ini termasuklah kewafatan bapa saudara Baginda Abu Talib dan isteri Baginda Sayidatina Khadijah Radiallahuanha yang merupakan antara peristiwa paling menyedihkan dalam kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kedua-duanya meninggal dunia pada tahun yang sama, sekitar tahun ke-10 selepas kenabian Baginda, sehingga tahun tersebut tercatat dalam sejarah Islam sebagai 'Am al-Huzni' iaitu tahun kesedihan.
Sungguhpun bapa saudara Baginda, Abu Talib itu tidak memeluk agama Islam, beliau sentiasa mempertahankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada ancaman dan tekanan kaum Quraish. Ketiadaannya merupakan kehilangan pelindung utama yang selama ini membantu Baginda daripada menghalang kaum Quraish daripada mencederakan Baginda. Impaknya penindasan terhadap umat Islam menjadi semakin agresif dan berat kerana tiada lagi tokoh yang disegani untuk mempertahankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Oleh sebab itu Baginda berasa sangat sedih kerana kehilangan insan yang banyak berjasa dalam hidup Baginda.
Manakala Sayidatina Khadijah Radiallahuanha pula adalah seorang isteri yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, tidak putus-putus memberi sokongan moral serta mengorbankan seluruh harta kekayaannya untuk membantu perjuangan syiar Islam. Oleh itu, kewafatan beliau juga memberi kesan yang amat mendalam. Baginda bukan sahaja kehilangan teman hidup yang paling setia, kehilangan tempat berkongsi kesusahan dan memperoleh ketenangan. Bahkan kehilangan orang yang sentiasa menjadi sumber kekuatan ketika wahyu mula diturunkan dan ketika Baginda menghadapi tantangan masyarakat Mekah. Maka kesan daripada kehilangan kedua-dua pelindung dan penyokong kuat Baginda itu, Baginda terus menghadapi tekanan yang lebih hebat daripada kaum Quraish. Akan tetapi walaupun diuji dengan kehilangan dua insan yang paling rapat, Baginda tetap tabah, sabar dan meneruskan dakwah kepada umat manusia. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman kepada Baginda agar tidak terlalu bersedih kerana keengganan manusia menerima dakwah. Firman-Nya ini terkandung di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 6 :
Tafsirnya : "Maka barangkali mungkin engkau (wahai Nabi Muhammad) akan merosakkan dirimu kerana menanggung dukacita disebabkan mereka berpaling daripadamu (dan mereka tidak beriman kepada keterangan (Al-Quran) ini".
Dalam usaha Baginda mencari perlindungan dan sokongan dakwah di luar Mekah, Baginda telah mengalihkan pandangan melangkah pergi ke Taif dengan berjalan kaki. Namun, dakwah Baginda bukan sahaja ditolak, malah Baginda disorak dan dibaling dengan batu oleh penduduk Taif sehingga kaki Baginda berlumuran darah.
Di saat Baginda menanggung kesakitan itulah datang malaikat menawarkan bantuan untuk menghempap gunung ke atas penduduk Taif, namun lihatlah sifat Baginda, dengan sifat rahmahnya, menolak tawaran tersebut, malah mendoakannya agar keturunan mereka kelak menyembah Allah Subhanahu Wata'ala. Betapa besar perjuangan dan pengorbanan demi mempertahankan syiar Islam. Rasulullah akhirnya melangkah pergi meninggalkan tanah air tercinta Mekah, tempat Baginda dilahirkan kerana ancaman bunuh yang menanti. Baginda melangkah keluar dari rumah dalam keadaan dikepung rapat oleh para pembunuh, namun jiwa Baginda tetap tenang bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sepanjang perjalanan hijrah ke Madinah, Baginda menempuh bahaya di Gua Tsur, menderita keletihan yang luar biasa dan dikejar musuh siang dan malam yang mahukan kepala Baginda.
Selepas berhijrah ke Madinah, dakwah Baginda diuji pula dengan siri peperangan yang mempertaruhkan nyawa seperti Perang Badar, Uhud dan Khandaq. Dalam Perang Uhud, Baginda mengalami kecederaan parah, gigi geraham Baginda patah dan wajah Baginda yang suci basah berlumuran darah akibat mempertahankan dakwah Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyebarkan agama Islam dengan penuh kesabaran yang luar biasa. Baginda tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya membalasnya dengan kasih sayang. Baginda telah lama menolak tawaran harta, takhta dan wanita daripada kaum Quraish demi mempertahankan agama Islam. Demi memastikan nikmat iman dan Islam selamat sampai ke dalam dada kita hari ini.
Renungkanlah kembali betapa kasihnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada kita. Baginda bukan sahaja telah berkorban tenaga, masa dan harta malah sanggup menghadapi pelbagai cabaran dan penderitaan demi menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh umat manusia. Oleh yang demikian, sebagai tanda kesyukuran kita yang telah dianugerahkan dengan nikmat Islam dan iman hasil daripada perjuangan dan pengorbanan Baginda, maka kita sebagai umat Islam hendaklah menjaga serta memelihara kesucian agama Islam dengan mematuhi segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Menjauhi larangannya dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Selain itu, umat Islam juga bertanggungjawab menyebarkan nilai-nilai murni Islam melalui akhlak yang baik, saling menghormati dan menjadi contoh yang positif dalam masyarakat. Dengan demikian, agama Islam akan terus terpelihara dan berkembang seperti yang diperjuangkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkorban segala-galanya demi menyampaikan Islam kepada kita. Maka amat rugilah jika kita mengabaikan suruhan agama kita, tidak menjaga akhlak atau lebih mengutamakan urusan dunia sehingga melupakan ajaran Baginda.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan kita semua dalam kalangan umat yang benar-benar mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, mengurniakan kekuatan untuk istiqamah menghidupkan sunnah Baginda dan tergolong orang-orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak, insyaaAllah Amin Ya Rabbal Alamin.
Tafsirnya : "Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) daripada golongan kamu sendiri, yang sangat mengambil berat terhadap kesusahan yang kamu tanggung, yang menginginkan kebaikan kepada kamu, sangat belas kasihan lagi pengasih terhadap orang-orang beriman". (Surah At-Tawbah, ayat 128)