Memperkasa belia sebagai aset negara

1 Og 2026 - 9:30am

BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Setiap negara mengimpikan rakyat yang berupaya memacu kemajuan, mengekalkan keamanan dan menyemai kemakmuran. Namun, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonominya tetapi lebih utama pada kualiti modal insan yang membangunkannya. Di sinilah terletaknya peranan besar golongan belia sebagai aset paling berharga untuk negara.

Belia bukan sekadar harapan, bahkan merupakan aset dan pewaris masa depan negara. Merekalah generasi yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan, meneruskan pembangunan, memikul amanah serta menegakkan agama dan bangsa. Justeru, memperkasa belia bermakna mempersiapkan masa depan negara itu sendiri, menghadapi pelbagai cabaran demi memastikan negara terus teguh berdiri, maju dan dihormati.

Persoalannya, bagaimana kita hendak membentuk belia yang benar-benar berupaya menjadi aset dan tonggak kekuatan negara. Marilah kita menghayati beberapa asas penting dalam pemerkasaan generasi belia ini.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Kahf, ayat 13 :

Tafsirnya : "Kami menceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan hidayah kepada mereka".

Ayat ini menjelaskan mengenai pemuda Ashabul Kahfi yang hidup dalam suasana negara yang penuh dengan tekanan, kezaliman dan kekeliruan. Sungguhpun mereka berhadapan dengan cabaran gentir, mereka tetap berpegang teguh kepada keimanan, sehingga Allah Subhanahu Wata'ala menambahkan mereka hidayah, keteguhan dan pertolongan. Kisah ini menjadi teladan yang jelas bahawa belia yang beriman mampu menjadi benteng kekuatan negara. Iman yang teguh melahirkan peribadi belia yang tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu duniawi. Sebaliknya, terus berpegang kepada kebenaran dan mengharapkan pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah mesej dan pengajaran buat generasi belia hari ini.

Belia hari ini berdepan dengan arus globalisasi yang semakin mencabar, disusuli dengan ledakan teknologi yang berkembang pesat dan transformasi digital yang kian rancak, namun demikian, kemajuan tersebut hanya akan membawa manfaat apabila dipandu oleh keimanan, akhlak dan nilai-nilai Islam.

Hal ini berlaku kerana gelombang media sosial, lambakan kandungan dunia siber yang boleh diakses tanpa sempadan sering kali menonjolkan gaya hidup bebas, tidak menghiraukan nilai-nilai akidah, syariat dan akhlak Islam. Segala aspek kehidupan dieksploitasi sehingga sebahagian anak muda kita tersasar lalu hilang status mereka sebagai insan yang berakal dan beradab. Sehubungan dengan itu, bagi mendepani cabaran alaf baharu ini, sebagai langkah membentengi jiwa mereka, dua asas penting perlu menjadi pegangan setiap belia :

Pertama : Kekuatan iman. Iman merupakan asas kepada pembentukan keperibadian seorang Muslim. Belia yang teguh imannya akan sentiasa berpaut kepada ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dan tidak mudah terpengaruh dengan fahaman songsang, ajaran sesat atau budaya asing yang bercanggah dengan syariat Islam, setiap amalan akan terarah kepada amalan soleh dan setiap perbuatan akan terhindar daripada perkara mungkar. Dengan keimanan jitu, belia akan lebih bermaruah, terpelihara keselamatan dan kesejahteraan dirinya.

Kedua : Kemuliaan akhlak. Ilmu dan kemahiran tanpa akhlak akan membawa kepincangan, manakala kemajuan tanpa adab akhirnya membawa kehancuran. Oleh itu, belia yang berilmu dan berkemahiran, perlu menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Menghormati ibu bapa, guru dan pemimpin, menjaga tutur kata dan tingkah laku serta berhemah dan bertanggungjawab dalam pergaulan termasuk di alam maya. Akhlak yang baik akan mengangkat martabat seseorang dan menjadi asas kepada keharmonian masyarakat dan kemajuan negara. Daripada Jabir Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya yang paling aku cintai dan paling dekat denganku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak terbaik. Dan orang yang paling aku benci dan yang paling jauh daripadaku di akhirat nanti adalah orang mempunyai akhlak yang paling keji, iaitu orang yang mereka-reka percakapannya, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan bongkak)". (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Selain daripada memperkukuh iman dan akhlak, belia juga perlu diperkasa dari sudut ilmu, kemahiran serta keupayaan untuk menjadi peneraju kemajuan. Mereka tidak boleh berhenti menimba ilmu, malah mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat bagi memperkasa potensi diri. Dengan sikap yang terbuka terhadap perubahan, mereka perlu mampu menyesuaikan diri, berinovasi dan mencipta nilai baharu dalam pelbagai bidang. Dalam menyentuh besarnya peranan dan harapan yang digalas oleh generasi belia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang Ke-80 pada 15 Julai 2026 di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, antara petikan titah baginda :

"Turut jadi harapan beta ialah ingin melihat generasi muda berperanan lebih bermakna. Bukan sekadar jadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan orang lain tetapi kita juga perlu bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan," demikian baginda bertitah.

Titah ini merupakan satu seruan dan harapan yang tinggi terhadap generasi belia agar tidak berpuas hati sekadar menjadi pengguna. Sebaliknya, tampil sebagai penggerak dan peneraju. Justeru, para belia hendaklah merebut segala peluang ilmu, kemahiran dan keusahawanan yang disediakan bagi melengkapkan diri sebagai generasi yang berdikari dan berdaya saing.

Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), pemerkasaan belia hendaklah berteraskan nilai-nilai murni yang bersumberkan ajaran Islam. MIB bukan sekadar identiti, bahkan merupakan cara hidup yang menyatupadukan keimanan, ketaatan kepada raja serta kesetiaan kepada Islam, bangsa dan negara. Belia yang dibentuk berlandaskan MIB akan menjadi generasi yang seimbang, kukuh pegangan agamanya, cintakan negara dan taat kepada pemimpin. Merekalah yang akan meneruskan kesinambungan kepimpinan negara serta menjadi tonggak kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Wawasan negara itu menuntut belia yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berdaya saing, di samping teguh berpegang kepada nilai-nilai keimanan dan akhlak. Pembangunan modal insan yang seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Inilah yang akan menjamin kesejahteraan negara pada masa hadapan.

Memperkasa belia sebagai aset negara merupakan tanggungjawab yang perlu digembleng oleh semua pihak iaitu ibu bapa, penjaga, sekolah, institusi pendidikan, pemimpin, masyarakat dan negara. Ibu bapa merupakan benteng pertama dalam membentuk keperibadian anak-anak. Manakala institusi pendidikan pula berperanan melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa agar barisan belia kita diteguhkan hati, sentiasa berada di jalan yang benar, dipelihara iman agar istiqamah melaksanakan ibadah, dikurniakan hidayah, perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dalam setiap langkah kehidupan mereka. Semoga mereka membesar menjadi generasi yang berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia serta tampil sebagai generasi pelapis yang menjadi harapan agama, bangsa dan negara, dapat memikul amanah kepimpinan, menyumbang kepada pembangunan serta meneruskan kemajuan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang sentiasa berada dalam keredaan, rahmat dan keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala, Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya : "Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang makruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Dan kalau ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) beriman, tentulah yang demikian itu baik bagi mereka. (Tetapi) sebahagian daripada mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang fasik". (Surah Ali-Imran, ayat 110)