Tumbuhan hijau : Benteng menangani perubahan iklim

17 Og 2026 - 10:23am

Oleh : Muhammad Ali Norhadi Abdullah Mohammad Noh, Penempatan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali di Bahagian Pelita Brunei

Foto : Jabatan Penerangan

PERUBAHAN iklim bermaksud perubahan jangka panjang dari segi suhu, corak cuaca, taburan hujan dan keadaan iklim bumi. Fenomena perubahan iklim berlaku secara semula jadi dalam tempoh yang panjang dan pada masa kini perubahan itu berlaku dengan lebih pantas berpunca daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api, penebangan hutan dan pencemaran industri.

Dengan adanya tumbuhan hijau seperti pokok, rumput, tanam-tanaman dan sebagainya bertindak sebagai penyerap karbon yang berkesan melalui proses fotosintesis. Proses ini bermaksud tumbuh-tumbuhan akan menyerap gas karbon dan menukarnya kepada oksigen yang diperlukan oleh semua kehidupan. Oleh itu, tumbuh-tumbuhan hijau memainkan peranan sebagai benteng dalam menangani perubahan iklim bagi mengawal keadaan iklim bumi.

Kesan perubahan iklim

Perubahan iklim menyumbang kepada pemanasan global yang mana suhu bumi akan sentiasa meningkat jika tidak diatasi dan dikawal secukupnya. Suhu bumi yang terus meningkat akan mencetuskan cuaca panas yang melampau dan memberi kesan yang buruk kepada manusia kerana gelombang haba boleh menjejaskan kesihatan.

Bencana alam sekitar seperti banjir dan kemarau akan kerap berlaku lalu mengakibatkan  ancaman terhadap biodiversiti alam sekitar, harta benda dan infrastruktur. Cuaca yang panas boleh menyebabkan kebakaran hutan dan kepupusan habitat haiwan serta menimbulkan penyakit seperti asma dan strok haba. Tambahan pula, udara akan lebih tercemar dengan keadaan jerebu yang tebal dan memberi kesulitan terhadap pengguna jalan raya. Selain itu, kemarau yang berpanjangan boleh menjejaskan aktiviti manusia seperti pertanian dan kekurangan sumber air untuk pengeluaran makanan. Keadaan ini boleh memberi tekanan terhadap masyarakat yang bergantung kepada sumber semula jadi untuk kelangsungan hidup.

Manfaat tumbuhan hijau

Tumbuhan hijau menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Kehadiran kawasan hijau seperti taman, hutan dan landskap yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan dapat menurunkan suhu setempat serta meningkatkan keselesaan persekitaran hidup masyarakat. Masyarakat yang prihatin mengenai kepentingan tumbuhan hijau sudah tentu akan menghargai tumbuh-tumbuhan dan menjaganya agar sentiasa dalam keadaan yang baik. Selain itu, tumbuhan hijau juga membantu menstabilkan suhu persekitaran seperti pokok-pokok yang tinggi penuh dengan daun-daun hijau menyediakan teduhan bagi mengurangkan kesan haba berperanan penting bagi mengurangkan jumlah gas rumah hijau serta menyumbang kepada memperlahankan kadar pemanasan global.

Meningkatkan kualiti udara

Dari aspek kualiti udara, kehadiran tumbuhan hijau yang mencukupi dapat menyumbang kepada penghasilan udara yang lebih bersih dan sihat untuk kehidupan. Persekitaran yang diwarnai dengan tanaman hijau bukan sahaja mengurangkan pencemaran udara malah menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental manusia. Selain itu, udara yang segar juga memudahkan manusia untuk menjalankan aktiviti dengan menghirup udara yang lebih segar serta terhindar daripada pencemaran. Apabila kualiti udara dapat dikawal oleh tumbuhan hijau, pencemaran udara akan semakin berkurangan. Justeru, keadaan ini dapat memperlahankan proses perubahan iklim lantas mengurangkan risiko berlakunya cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan pencemaran udara.

Memelihara habitat, biodiversiti

Di samping itu, tumbuh-tumbuhan hijau turut menyumbang kepada pemeliharaan dan perlindungan khasnya terhadap habitat dan biodiversiti. Hutan, taman dan kawasan hijau mewujudkan ekosistem yang lebih sihat dan meningkatkan daya tahan alam sekitar melawan arus perubahan iklim serta memastikan keseimbangan alam semula jadi terus terpelihara. Tambahan pula, habitat haiwan liar akan dapat menikmati keamanan dengan tanaman hijau dan berasa dilindungi jika hutan atau taman yang terus terpelihara daripada perubahan iklim. Ini juga akan memberi peluang seperti spesies haiwan yang jarang ditemui akan lebih memilih untuk tinggal di kawasan yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan hijau untuk memudahkan mencari tempat tinggal dan makanan.

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)

Di Negara Brunei Darussalam yang kaya dengan hutan tropika dan tumbuh-tumbuhan hijau, usaha memelihara dan melindungi sentiasa dilakukan secara konsisten. Program penanaman pokok, pemuliharaan hutan, pembangunan landskap hijau serta pendidikan alam sekitar melibatkan semua masyarakat bagi memberi kesedaran tentang kepentingan tumbuhan hijau. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Ke-13 iaitu tindakan terhadap perubahan iklim. Matlamat ini menekankan masyarakat untuk bertindak segera dalam usaha bersama memerangi perubahan iklim dan kesannya. Oleh itu, tumbuhan hijau menyumbang terhadap pengawalan perubahan merupakan salah satu langkah penting untuk mencapai matlamat ini dalam usaha memperluaskan lagi kawasan dan tumbuh-tumbuhan hijau.

Penutup

Tumbuhan hijau merupakan benteng penting dalam menghadapi ancaman perubahan iklim. Keupayaannya dalam menstabilkan suhu, mengawal keadaan udara dan memelihara biodiversiti menjadikannya aset yang paling berharga untuk kelangsungan hidup manusia. Usaha menanam, memelihara dan melindungi tumbuhan hijau perlu dijalankan secara berterusan selaras dengan SDGs agar dapat dicapai demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar. Kesedaran, kerjasama dan tindakan yang berterusan merupakan kunci utama dalam memerangi perubahan iklim pada masa kini yang semakin kompleks.