Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail
Illustrasi dan Infografik : Mohammad Ike Ikrami Haji Suhaimi
KEJIRANAN didefinisikan sebagai hubungan erat dalam kalangan masyarakat yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur, sentiasa bertegur sapa, berkongsi rezeki makanan dan bekerjasama dengan jiran tetangga dan saling membantu ketika dalam kesusahan.
Dalam hidup berjiran, kita tidak mahu hidup mementingkan diri sendiri bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Sikap individualistik akan menggugat keharmonian hidup bermasyarakat. Jiran adalah orang yang paling dekat untuk meminta pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan dan kematian.
Sebagai jiran yang baik, adalah perlu bagi kita untuk sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Mulakan salam dan senyuman jika bertemu sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Hendaklah sentiasa bertoleransi yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi. Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan. Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.
Pandangan dari sudut Islam dalam kehidupan berjiran
Islam menggariskan beberapa peraturan dalam hidup bermasyarakat. Antara peraturan hidup yang sepatutnya disemai dalam diri setiap anggota masyarakat ialah menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Sebagai jiran yang baik, seseorang itu seharusnya mengenali siapa yang tinggal di persekitaran rumahnya. Ini akan memudahkan seseorang itu untuk lebih peka dengan masalah dan situasi yang dihadapi oleh jiran. Kesusahan yang ditanggung oleh jiran mereka hendaklah dibantu semampu mungkin.
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan ini kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Jadi umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran, demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud : "Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh". (Surah An-Nisa, ayat 36).
Kehidupan berjiran yang baik tidak semestinya dengan berkongsi makanan sahaja tetapi juga apa-apa yang melibatkan hal-hal tertentu yang bagi sesetengah orang hanya perkara kecil. Umpamanya jangan menyusahkan jiran seperti meletakkan sesuatu atau meletakkan kereta yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka kecuali setelah mendapat kebenaran dan izin daripadanya.
Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu, apabila ia dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang yang tidak menghormati dan kasih jirannya adalah masih belum sempurna. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri". (Riwayat Muslim, 64).
Jelas di sini bahawa keimanan seseorang itu tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya sama ada melalui celaan, fitnah, berburuk sangka dan sifat keji lain.
Hidupkan semangat kejiranan
Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pertolongan seperti ini amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak-saudara. Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini.
Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapa pun apatah lagi jiran yang terdekat. Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah.
Hidup rukun bersama jiran
Hidup dikelilingi jiran yang baik adalah satu rahmat dan banyak memberi manfaat kepada kita. Umpama satu rezeki yang sentiasa diharapkan, mendapat jiran yang baik akan menjadikan persekitaran kehidupan berjiran yang harmoni. Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan sebagainya.
Di negara kita perkara ini dapat dilakukan dengan Pengawasan Kejiranan yang dikelolakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei. Dengan semangat kejiranan ini akan memberikan kesempatan untuk saling mengenali di antara satu dengan yang lain dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama insan. Kewujudan hubungan ini akan merangsang sikap pemedulian dan mengekalkan kehidupan berjiran yang harmoni dalam kalangan penduduk.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud : "Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan". (Surah Al-Maidah, ayat 2).
Kesimpulan
Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita, namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Hiduplah kita bagai aur dengan tebing, saling memerlukan, saling mengukuhkan. Sinergi dan usaha sama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Hidup berbaik-baik dan bersama dalam kejiranan yang sempurna adalah idaman setiap orang. Justeru marilah kita realisasikan suasana itu untuk keharmonian hidup berjiran.