PEMBUANGAN ubat-ubatan secara tidak betul merupakan isu yang kurang diberi perhatian, namun boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam dan alam sekitar. Ubat yang tidak digunakan atau telah mansuh lazimnya disimpan di rumah atau dibuang ke dalam tong sampah, sinki dan tandas, sekali gus meningkatkan risiko keracunan tanpa sengaja, penyalahgunaan ubat, pembaziran ubat serta pencemaran sumber air dan alam sekitar.
Isu pengurusan dan pembuangan ubat-ubatan yang mansuh atau tidak digunakan didapati jarang mendapat perhatian, walaupun ia sebenarnya merupakan fenomena yang lazim berlaku di kebanyakan rumah.
Menyedari jurang kesedaran ini, Kumpulan Action Hearts telah melaksanakan projek Kempen C.A.R.E. - Creating Awareness on Responsible Management and Disposal of Expired or Unused Medicines, atau dalam bahasa Melayu, Mewujudkan Kesedaran Terhadap Pengurusan dan Pembuangan Ubat-ubatan Yang Telah Mansuh atau Tidak Digunakan Secara Bertanggungjawab. Ia memfokuskan pengurusan dan pembuangan ubat yang telah mansuh atau tidak digunakan secara selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Kumpulan Action Hearts merupakan salah satu daripada kumpulan peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan Kohort Ke-37 (EDPMMO-37), anjuran Institut Perkhidmatan Awam di bawah penyeliaan Jabatan Perkhidmatan Awam, yang berlangsung dari 29 Jun sehingga 26 September 2026.
Hasil kaji selidik
Sasaran asal sampling penyertaan kaji selidik Kempen C.A.R.E adalah seramai 384 responden bagi mendapatkan 95 peratus tahap keyakinan (confidence level) dengan 5 peratus ralat margin (margin of error). Namun, secara keseluruhannya kaji selidik tersebut berjaya memperolehi sampling penyertaan yang lebih baik iaitu seramai 426 responden termasuk penyertaan dari keempat-empat daerah dengan 95 peratus tahap keyakinan (confidence level) dan 4.7 peratus ralat margin (margin of error).
Antara dapatan-dapatan utama kaji selidik tersebut ialah 84 peratus responden menyatakan membuang ubat ke dalam tong sampah, lapan daripada setiap 10 responden tidak mengetahui bahawa ubat yang telah mansuh atau tidak digunakan sebenarnya boleh dipulangkan, manakala tujuh daripada setiap 10 responden tidak menyedari bahawa penyimpanan dan pembuangan ubat secara tidak betul boleh menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.
Meskipun amalan semasa menunjukkan tahap kesedaran yang masih rendah, dapatan kaji selidik turut menunjukkan sokongan padu daripada orang ramai terhadap usaha ini. Pada masa yang sama, 90 peratus responden menyatakan kesediaan untuk menggunakan kemudahan pemulangan ubat sekiranya mudah diakses. Dapatan ini menunjukkan bahawa masyarakat telah bersedia untuk melakukan perkara yang betul, tetapi keperluan utama adalah peningkatan kesedaran serta penyediaan akses pemulangan ubat yang mudah dan terkawal.
|\
Penyediaan peti pemulangan ubat
Penyediaan peti pemulangan ubat merupakan salah satu bahan sokongan inisiatif utama Kempen C.A.R.E. untuk memudahkan orang ramai memulangkan ubat yang telah mansuh dan tidak digunakan tanpa perlu beratur ke kaunter farmasi atau menunggu program pengumpulan tertentu dianjurkan. Pendekatan kaedah ini boleh membantu memupuk amalan pembuangan ubat yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat secara berterusan.
Penggunaan peti ini tertakluk kepada prosedur dan pengawasan Jabatan Perkhidmatan Farmasi (JPF). Jenis ubat yang boleh diterima, lokasi penempatan, kawalan akses, penguncian, pengosongan serta pengendalian kandungannya perlu ditentukan oleh pegawai farmasi yang bertanggungjawab. Ubat terkawal, ubat berbentuk cecair, benda tajam dan bahan lain yang memerlukan pengendalian khusus tidak boleh dimasukkan tanpa arahan atau pemeriksaan pegawai farmasi. Oleh itu, peti pemulangan ubat tidak dimaksudkan sebagai tempat pembuangan terbuka bagi semua jenis ubat. Orang ramai hendaklah mengikut arahan yang ditetapkan dan mendapatkan nasihat pegawai farmasi sekiranya terdapat keraguan. Pendekatan ini memastikan proses pemulangan ubat dilaksanakan dengan selamat, terkawal dan selaras dengan keperluan JPF.
Peti ini dihasilkan dan dibina sendiri oleh ahli Kumpulan Action Hearts. Ianya direka dengan slot pintu yang mudah digunakan bagi memudahkan orang ramai memulangkan ubat-ubatan mereka yang telah mansuh atau tidak digunakan secara selamat, manakala ruang simpanan di bahagian dalamnya dikunci bagi memastikan ubat yang dikumpul adalah terkawal dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak yang tidak dibenarkan. Bahagian luar hadapan dan tepi sebelah kiri dan sebelah kanan peti juga dipamerkan dengan poster-poster kempen C.A.R.E. dalam bahasa Melayu dengan slogan 'Ubat Awda, Tanggungjawab Awda' serta dalam bahasa Inggeris dengan slogan 'Your Medicine, Your Responsibility'. Ini menjadikan peti ini bukan sekadar tempat pemulangan ubat, tetapi secara langsung juga turut berfungsi sebagai alat penyebaran mesej kempen kepada sesiapa yang menggunakannya.
Impak dan kesan kempen
Secara keseluruhannya, respon awal menunjukkan bahawa Kempen C.A.R.E. berjaya menarik perhatian dan minat orang ramai yang bukan sahaja ingin lebih mengetahui serta mengubah tindakan kepada lebih bertanggungjawab, tetapi juga untuk turut memainkan peranan dalam menyebarluaskan lagi inisiatif seperti Kempen C.A.R.E.
Dalam jangka panjang, Kempen C.A.R.E. dihasratkan menyumbang kepada keselamatan isi rumah, pengurangan risiko penyalahgunaan ubat dan perlindungan kesihatan awam dan alam sekitar. Bagi ubat antimikrob pula, pemulangan dan pelupusan melalui saluran yang berkaitan dan diluluskan merupakan salah satu amalan yang bertanggungjawab yang dapat menyokong dalam usaha menangani pencemaran farmaseutikal dan kerintangan antimikrob (AMR).
Dari sudut alam sekitar, setiap tindakan memulangkan ubat mansuh ke kaunter farmasi boleh membantu memberikan impak dan kesan yang baik dalam mengurangkan risiko bahan kimia farmaseutikal memasuki sumber air dan ekosistem semula jadi.
Kesimpulan
Adalah diharapkan inisiatif seperti ini dapat dikembangkan dengan lebih meluas lagi demi menyumbang kepada kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar negara secara berterusan. Kesedaran sahaja sebenarnya belum mencukupi. Kempen C.A.R.E. ini bukan sekadar untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam, tetapi turut memberi ruang dalam mewujudkan sikap bertanggungjawab dan satu budaya amalan yang baik dalam kalangan masyarakat.