Membentuk insan bertakwa, membina ummah mulia

22 Og 2026 - 3:01pm

Rencana dan Foto : Nurdiyanah Rajami

ANAK merupakan kurnia dan nikmat yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk dijaga dan dipelihara dengan baik dan penuh kasih sayang. Sesungguhnya anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ibarat kain putih yang suci bersih, maka ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak dan mendidik mereka dengan didikan yang baik dan sempurna.

Justeru, jika anak-anak itu dicorak dan dididik dengan baik, maka baiklah jadinya dan jika sebaliknya, maka akan rosak binasalah mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Dari Al-Aswad bin Surayi bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka kedua ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi". (Riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Oleh itu, ke arah melahirkan anak yang baik sama ada dari segi fizikal atau mental setentunya memerlukan asas yang baik dan sempurna salah satu caranya melalui penerapan pendidikan Islam dalam kehidupan sehari-hari.

Program Pewaris Khatamul Anbiya

Sehubungan itu, dengan matlamat murni untuk memupuk golongan kanak-kanak dan remaja supaya mengenali, mencintai dan menghayati sirah serta Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian, Nadi Quranic Learning Centre Tutong dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Program ‘Pewaris Khatamul Anbiya : Membentuk Insan Bertakwa, Membina Ummah Mulia' bertempat di Pusat Belia Tutong pada 15 Ogos lalu.

Program yang dianjurkan bersempena Sambutan Maulidur Rasul seawal 8.00 pagi hingga 3.00 petang itu disambut baik oleh lebih 25 orang terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja lingkungan usia 7 hingga 15 tahun.

Dalam pertemuan bersama Pelita Brunei, Penyelaras Program Pewaris Khatamul Anbiyya, Dayang Nur Syifa Afiqah binti Haji Arsat yang juga selaku Guru Al-Quran Nadi Quranic Learning Centre Tutong antaranya menjelaskan, ‘Pewaris Khatamul Anbiya’ membawa maksud generasi yang meneruskan warisan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam khususnya dalam aspek ilmu, sunnah, adab dan akhlak Baginda.

“Walaupun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah pesuruh Allah Subhanahu Wata’ala yang terakhir dan penutup para nabi bagi umat manusia, kita sebagai umat Baginda mempunyai tanggungjawab untuk menjaga, menghayati dan mengamalkan ajaran serta sunnah yang telah Baginda tinggalkan. Akhlak dan kepimpinan Baginda menjadi contoh terunggul serta panduan hidup yang sempurna dalam membina masyarakat yang harmoni dan beriman,” ujarnya.

Dayang Nur Syifa Afiqah turut menambah melalui program ini, mereka bukan sahaja didedahkan kepada kisah dan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetapi juga digalakkan untuk mencontohi akhlak Baginda, membentuk peribadi yang baik serta mengamalkan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang sesama insan.

“Diharapkan melalui usaha ini, kita dapat melahirkan generasi yang bertakwa, berakhlak mulia dan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang seterusnya menjadi asas kepada pembentukan ummah yang kuat, bersatu dan mulia.

“Ini juga bertepatan dengan slogan program kami iaitu ‘Membentuk Insan Bertakwa, Membina Ummah Mulia’ yang menggambarkan matlamat program ini dalam membentuk generasi yang dekat dengan Allah Subhanahu Wata’ala, mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mempunyai akhlak yang mulia,” jelas beliau.

Melentur buluh biarlah daripada rebung

Melentur buluh biarlah daripada rebung menjadi falsafah penting dalam pendidikan Islam termasuk mewujudkan rasa cinta dan kasih kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sejak di usia kecil lagi. Usaha menanam, menyemai dan menyuburkan perasaan itu juga perlu dilakukan dengan kaedah yang lebih interaktif.

Mengulas lanjut mengenai mengapa menumpukan golongan kanak-kanak dan remaja dalam program berkenaan, Dayang Nur Syifa Afiqah mengutarakan golongan ini merupakan sasaran utama program kerana pada peringkat usia tersebut, mereka sedang melalui fasa penting dalam pembentukan peribadi, akhlak dan amalan yang baik dalam kehidupan.

“Oleh itu, melalui program ini, kami berharap dapat menerapkan nilai-nilai Islam, kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta membimbing mereka untuk menjadikan Sunnah dan akhlak Baginda sebagai contoh dalam kehidupan seharian,” tambahnya.

Seramai 10 ahli Nadi Quranic Learning Centre Tutong terdiri daripada guru-guru Al-Quran dan kakitangan telah menjayakan program ini di bawah pimpinan dua orang penyelaras program iaitu Dayang Nur Syifa Afiqah dan juga Awang Ahmad Bazli bin Muhammad Bahrin.

Pelbagai aktiviti penyeri program

Bagi memastikan pengisian program lebih menarik dan berkesan, Dayang Nur Syifa Afiqah mengongsikan sebanyak enam aktiviti utama telah disediakan yang bukan sahaja menyeronokkan, malah sarat dengan nilai pendidikan, penghayatan sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Pendekatan yang lebih interaktif dan santai digunakan bagi membolehkan para peserta mempelajari dan menghayati ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan cara yang sesuai dengan peringkat usia mereka.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah The Pewaris Trail, iaitu aktiviti berbentuk Amazing Race yang menggabungkan empat buah checkpoint iaitu Archery Skills, Whisper Challenge, Sirah Puzzle dan Prophetic Memory. Dalam Archery Skills, peserta diperkenalkan kepada aktiviti memanah sebagai salah satu kemahiran yang mempunyai nilai dalam Sunnah, di samping melatih fokus, disiplin, kesabaran dan ketekunan. Seterusnya, Whisper Challenge menguji keupayaan peserta dalam berkomunikasi serta menyampaikan sesuatu mesej dengan tepat. Aktiviti ini turut menerapkan nilai amanah dan tabligh dalam menyampaikan sesuatu maklumat.

“Bagi Sirah Puzzle pula, peserta perlu mencantumkan gambar-gambar berkaitan peristiwa dalam sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Aktiviti ini bertujuan menguji pengetahuan peserta mengenai sirah Baginda, di samping menggalakkan mereka mengambil ibrah dan pengajaran daripada perjalanan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

“Manakala Prophetic Memory merupakan aktiviti cabaran minda yang melatih daya ingatan, pemerhatian dan fokus peserta sambil memperkenalkan kisah ringkas para nabi. Aktiviti ini diharapkan dapat membantu peserta mengingat, memahami dan menghayati kisah serta teladan para nabi, khususnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh ikutan bagi seorang Pewaris Khatamul Anbiya,” hurainya.

Tambah Dayang Nur Syifa Afiqah, selain itu, The Great Tale of Wisdom turut dimuatkan dalam pengisian program berkenaan yang mana ia merupakan sesi penceritaan interaktif yang mengetengahkan kisah-kisah teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sesi ini turut disusuli dengan kuiz yang dikendalikan oleh guru bertugas bagi menguji kefahaman dan penghayatan peserta terhadap kisah yang disampaikan.

“Program ini turut diserikan dengan Video Challenge, iaitu cabaran kepada peserta untuk menghasilkan video atau sketsa pendek yang bertemakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Antara pengisian yang boleh diketengahkan antaranya menerusi alunan nasyid dan selawat serta perkongsian fakta mengenai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Aktiviti ini memberi ruang kepada peserta untuk menzahirkan kreativiti sambil menyampaikan mesej yang berkaitan dengan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

“Salah satu aktiviti yang dimuatkan ialah aktiviti Tahaddu Tahabbu, yang membawa maksud saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai, pula dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk menerapkan nilai persaudaraan, perkongsian dan saling menghargai dalam kalangan peserta,” kongsinya lagi.

Terus semai nilai keislaman dalam kehidupan

Melalui pelaksanaan program berkenaan, Dayang Nur Syifa Afiqah turut meluahkan jiwa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan menyaksikan perkembangan positif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin menunjukkan minat untuk menyertai aktiviti-aktiviti berunsurkan keagamaan. Perkembangan ini amat menggembirakan, khususnya apabila mereka menunjukkan kesungguhan untuk mendalami ilmu agama melalui pendekatan yang lebih menarik, santai dan bersesuaian dengan usia serta minat mereka.

“Pada pandangan kami, adalah penting untuk terus menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk mempelajari dan menghayati ilmu agama dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif. Pendekatan sebegini bukan sahaja dapat menarik minat mereka, malah membantu menjadikan pembelajaran agama sebagai sesuatu yang dekat dan bermakna dalam kehidupan seharian. Kami berharap perkembangan positif ini akan terus berkembang dan dapat melahirkan lebih ramai generasi yang celik agama, berilmu, berakhlak mulia serta mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri kata-kata, Dayang Nur Syifa Afiqah juga menaruh harapan kepada para peserta bagi mewakili semua yang terlibat menjayakan program berkenaan agar segala ilmu, pengajaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini tidak terhenti setakat program sahaja, tetapi dapat dibawa pulang dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Yang paling utama, semua peserta dapat terus istiqamah mengamalkan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping semakin mengenali, mencintai dan merindui Baginda serta menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai suri teladan dan ikutan dalam kehidupan,” ucapnya tulus.