Kesihatan Mental di Era Digital : Antara kesedaran dan tanggungjawab bersama

17 Og 2026 - 10:26am

Oleh : Mohamad Elmy Maswandi Suhaimi dengan kerjasama Meja Rencana, Seksyen Kandungan Khas, Bahagian Pelita Brunei

Ilustrasi : Nornasyirah Haji Nordin

 

HARI ini, perbincangan mengenai kesihatan mental semakin mudah ditemui di pelbagai platform media sosial. Isu seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan hidup kini telah dibicarakan secara lebih terbuka, sama ada melalui perkongsian peribadi di Instagram dan TikTok mahupun melalui kempen kesedaran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Perkembangan ini jelas memperlihatkan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat, dan pada masa yang sama membuka ruang yang lebih luas untuk kefahaman dan sokongan bersama.

Dalam pada itu, perkembangan ini juga mengajak kita untuk sama-sama berfikir secara lebih mendalam. Adakah keterbukaan ini telah membantu kita memahami kesihatan mental dengan lebih baik, khususnya dari sudut empati dan sokongan? Atau sebenarnya ia menandakan satu fasa baharu dalam kehidupan moden, di mana manusia semakin berusaha menyeimbangkan antara cabaran dalaman dan tuntutan kehidupan harian yang semakin kompleks?

Seiring dengan perkembangan era digital, tanggungjawab menjaga kesihatan mental kini banyak dibincangkan dari sudut individu. Pelbagai aplikasi kesihatan mental, bahan motivasi dan panduan mengurus tekanan telah disediakan secara meluas dan mudah diakses. Usaha ini sememangnya memberi manfaat, khususnya dalam membantu individu mengenali emosi diri dan mendapatkan sokongan awal.

Namun begitu, kesihatan mental juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran yang lebih luas. Antaranya termasuk tekanan pekerjaan, keadaan ekonomi, hubungan sosial serta suasana kekeluargaan. Oleh itu, kefahaman yang seimbang diperlukan, supaya isu kesihatan mental tidak hanya dilihat dari sudut individu semata-mata, tetapi turut melibatkan peranan persekitaran dan sistem sokongan yang ada di sekeliling kita.

Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi turut memberikan sumbangan besar dalam memperluas kefahaman tentang kesihatan mental. Bidang seperti neurosains, psikologi dan genetik telah membantu menjelaskan dengan lebih terperinci tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kesejahteraan emosi manusia. Dalam masa yang sama, amalan seperti yoga dan meditasi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai amalan tradisional kini turut diberi perhatian dalam kajian moden sebagai salah satu pendekatan yang membantu menenangkan minda. Hal ini memperlihatkan bagaimana ilmu moden dan amalan tradisi dapat saling melengkapi dalam usaha memahami kesejahteraan manusia.

Walaupun begitu, dalam arus maklumat yang begitu pantas hari ini, penting untuk kita sentiasa bersikap berhati-hati dan berimbang dalam memahami sesuatu isu. Tidak semua pengalaman emosi harian perlu dilihat sebagai tanda gangguan dan tidak semua cabaran hidup memerlukan diagnosis klinikal. Justeru, kefahaman yang tepat daripada sumber yang sahih serta panduan daripada pihak yang berkelayakan amatlah penting dalam memastikan kesejahteraan diri sentiasa terpelihara.

Di Negara Brunei Darussalam, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035. Kesejahteraan negara bukan sahaja diukur melalui kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga melalui keseimbangan emosi, mental dan rohani rakyatnya. Dalam hal ini, peranan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja serta komuniti amat penting dalam menyediakan suasana yang menyokong dan penuh keprihatinan.

Kesimpulannya, peningkatan kesedaran terhadap kesihatan mental pada hari ini merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan. Walau bagaimanapun, kesedaran ini akan menjadi lebih bermakna apabila ia disertai dengan kefahaman yang lebih mendalam serta sokongan bersama daripada semua pihak. Kesihatan mental bukanlah tanggungjawab individu semata-mata tetapi merupakan amanah bersama dalam membina masyarakat yang harmoni, prihatin dan sejahtera. Semoga usaha yang sedang digerakkan ini terus diperkukuh demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.