Kepemimpinan belia citra negara masa depan

1 Og 2026 - 9:46am

Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman

Foto : Jabatan Penerangan, Ak. Jefferi Pg. Durahman

 

SETIAP negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat dan penduduk yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan, keamanan dan kemakmuran bagi membangun negara. Dalam hasrat dan cita-cita kita untuk membangun ummah, bangsa dan negara, kita bukan hanya bergantung kepada kemantapan ekonomi semata-mata bahkan bergantung juga kepada sumber tenaga manusia yang antaranya ialah golongan belia.

Belia adalah harapan negara. Inilah cogan kata yang sering didengar dan sudah sinonim dengan golongan belia yang merupakan kelompok dominan dan berpengaruh demi melahirkan sebuah negara dan bangsa yang berjaya. Belia juga adalah bakal pewaris bangsa, merekalah yang akan menanai segala tanggungjawab demi mengukuhkan pembangunan negara dan di bahu merekalah juga terletak cabaran bagaimana untuk kekal mencemerlangkan negara di mata dunia.

Generasi muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang. Kepemimpinan belia adalah kepemimpinan negara pada masa depan. Citra negara pada masa akan datang, terpapar pada generasi belia hari ini. Mempersiapkan kepemimpinan belia bermakna mempersiapkan kepemimpinan negara. Belia merupakan tiang dan sandaran negara serta menjadi sumber tenaga manusia yang bernilai. Pada mereka diletakkan cita-cita serta harapan negara pada masa hadapan. Sebagai harapan negara, mereka memikul tanggungjawab yang amat besar dan kerana itulah juga kepemimpinan belia perlu bersifat transformatif. Ia perlu mampu mengubah dan berubah.

Bentuk belia dengan nilai kefahaman Islam

Oleh itu, mereka perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiah,nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak dari kecil lagi bagi menanai matlamat dan aspirasi negara yang dicintai. Untuk melahirkan belia Brunei yang cemerlang, ada beberapa ciri yang perlu dimiliki setiap belia, antaranya :

Pertama : Beriman iaitu patuh dan berpegang teguh kepada ajaran agamanya.

Kedua : Berilmu iaitu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menerajui negara pada masa hadapan. Bangsa yang menitikberatkan pendidikan adalah bangsa yang mempunyai masa depan.

Ketiga : Berbudaya iaitu dapat mempertahankan dan memelihara ciri-ciri kebruneian seperti berbudi bahasa, menghormati orang tua, bersopan santun dan lain-lain kerana budaya itu mencerminkan keperibadian dan identiti sesuatu bangsa.

Keempat : Berkeupayaan iaitu dapat berdaya tahan dan berdaya saing di era globalisasi yang semakin kompetitif dan membolehkan negara kita sebanding dengan negara-negara maju.

Kelima : Bernegara iaitu memiliki sifat nasionalisme di dalam diri mereka bagi memastikan mereka mencintai bangsa dan negara demi pembangunan negara.

Ejen perubahan sosial

Pada masa yang sama, belia juga berperanan sebagai ejen perubahan sosial. Mereka memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran mengenai isu-isu sosial seperti kemiskinan, diskriminasi, dan ketidaksamarataan. Dengan adanya golongan belia yang cakna terhadap isu-isu ini, mereka dapat membantu masyarakat untuk membentuk satu komuniti yang lebih adil dan seimbang.

Belia juga boleh menjadi sukarelawan dalam pelbagai program kemasyarakatan, membantu golongan kurang bernasib baik, serta membimbing kanak-kanak dan remaja dalam mencapai potensi diri mereka. Belia juga perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka agar dapat menjadi tenaga kerja yang produktif serta mampu menghadapi cabaran-cabaran kehidupan. Jelas bahawa belia berperanan sebagai ejen perubahan sosial ke arah yang lebih baik.

Mempercepatkan transformasi digital negara

Dalam bidang teknologi pula, belia mempunyai peranan yang sangat besar dalam mempercepatkan transformasi digital negara. Golongan belia yang celik teknologi memainkan peranan utama dalam mencipta inovasi dan teknologi baharu yang boleh meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor. 

Contohnya, belia boleh mencipta aplikasi atau sistem yang membantu meningkatkan produktiviti sektor pertanian, perindustrian, dan perkhidmatan. Melalui inovasi teknologi terkini, negara dapat bergerak seiring dengan perkembangan teknologi global dan terus bersaing di peringkat antarabangsa. Jelas kepentingan golongan belia dalam memastikan pembangunan negara terus bergerak. 

Dengan memiliki sifat atau ciri-ciri tersebut, maka akan dapat membantu melahirkan belia holistik yang cemerlang yang mempunyai rasa tanggungjawab demi bangsa dan negara. Dengan memiliki sifat-sifat ini juga para belia akan dapat berfikir dan menyedari akan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan negara dan juga sebagai penerus kesinambungan pentadbiran dan kemajuan pembangunan negara.

Golongan belia perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas untuk menjadi pemimpin pelapis yang meneraju negara pada masa depan. Golongan belia juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan, berintegriti dan berwawasan untuk memajukan diri, masyarakat dan negara.

Dalam usaha membangun belia di negara ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur serta bantuan fizikal dan bantuan fiskal. Generasi muda perlu bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin berkembang.

Penutup

Belia memainkan peranan yang sangat penting dalam pelbagai aspek pembangunan negara. Mereka adalah tenaga utama yang akan menerajui kepimpinan dan pembangunan negara pada masa akan datang. Oleh itu, belia perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai murni yang akan membantu mereka untuk menggalas tanggungjawab ini dengan baik. Pada masa yang sama, sokongan daripada pihak kerajaan dan masyarakat juga penting bagi memastikan belia dapat berkembang dengan baik serta memainkan peranan mereka dalam pembangunan negara. Sebagai generasi muda, belia perlu sedar bahawa masa depan negara berada di tangan mereka dan belia juga perlu bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi.