Demensia : Kenali, kesan, tangani lebih awal

5 Okt 2026 - 2:56pm

Oleh : Dk. Nur Ridzwana Pg. Abd. Aziz

Foto : Ihsan Dayang Nurul Bazilah Haji Ali

Ilustrasi : Mohammad Ike Iqrami Haji Suhaimi

DEMENSIA bukanlah satu penyakit khusus, tetapi merupakan istilah umum yang menggambarkan kemerosotan fungsi otak yang menjejaskan daya ingatan, pemikiran, pertuturan, pertimbangan serta keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti harian. Walaupun demensia lazimnya berlaku dalam kalangan warga emas, keadaan tersebut bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Antara jenis demensia yang umum ialah penyakit Alzheimer, Demensia Vaskular, Demensia Lewy Body dan Demensia Young-Onset.

Bagi seseorang yang mengalami demensia, dunia mereka mungkin semakin mengecil, keupayaan mengingati fakta semakin terjejas namun perasaan masih kekal. Mereka masih mampu berasa takut dan kesunyian. Justeru, selain rawatan dan penjagaan, sokongan serta kasih sayang keluarga memainkan peranan penting dalam membantu memberikan ketenangan kepada mereka.

Menurut Perutusan Yang Berhormat Menteri Kesihatan sempena Sambutan Hari Alzheimer atau Demensia Sedunia 2026 yang disambut pada setiap 21 September, dengan tema sambutan tahun ini ‘Lebih Awal Awda Ketahui, Lebih Banyak Dapat Awda Lakukan: Diagnosis Demensia Amat Bermakna’ (The Earlier You Know, The More You Can Do: A Dementia Diagnosis Matters).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 57 juta orang di seluruh dunia menghidap demensia pada tahun 2021 dan hampir 10 juta kes baharu berlaku setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 78 juta orang menjelang tahun 2030 dan 139 juta orang menjelang tahun 2050.

Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada arus ini. Anggaran menunjukkan bilangan penduduk yang hidup dengan demensia di negara ini boleh meningkat sehingga 365 peratus menjelang tahun 2050.

Semasa temu bual Pelita Brunei bersama Setiausaha Demensia Brunei, Dayang Nurul Bazilah binti Haji Ali menjelaskan mengenai demensia, kepentingan diagnosis awal serta perkara yang perlu diketahui oleh masyarakat.

Apakah perbezaan lupa biasa dengan tanda demensia?

Lupa merupakan perkara biasa, terutama ketika seseorang sibuk, letih atau kurang memberikan perhatian.

Sebagai contoh, lupa biasa seseorang masih mampu mengingati semula dengan memikirkan kembali apa yang baru dilakukan tetapi tidak selalu. Ia hanya terjadi apabila terlalu banyak perkara yang hendak dicakapkan, difikirkan dalam satu masa atau semasa kurang perhatian (distracted).

Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi seseorang yang mengalami demensia. Masalah ingatan berpunca daripada perubahan pada otak dan biasanya lupa semakin ketara dari semasa ke semasa sehingga boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk melakukan aktiviti seharian.

Contohnya, terlupa ahli keluarga terdekat, lupa melakukan perkara yang biasanya dilakukan, seperti memasak, berulang kali lupa menutup gas atau paip air. Perubahan seperti ini adalah penting diberikan perhatian khususnya jika berlaku berulang kali dan mula menjejaskan kehidupan harian.

Mengapa diagnosis demensia pada peringkat awal begitu penting?

Diagnosis awal membolehkan penurunan kognitif, masalah ingatan atau perubahan pada fungsi otak dikenal pasti sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan mengganggu kehidupan seharian secara ketara.

Pemeriksaan juga penting bagi memastikan gejala yang menyerupai demensia, seperti lupa dan kekeliruan adalah bukan berpunca daripada penyakit lain yang boleh dirawat seperti kekurangan vitamin, ketidakseimbangan hormon tiroid atau kemurungan.

Dengan diagnosis awal, individu yang mengalami demensia bersama ahli keluarga dapat membuat perancangan untuk masa hadapan serta mendapatkan rawatan, penjagaan dan sokongan yang diperlukan.

Bilakah seseorang atau ahli keluarga perlu mendapatkan pemeriksaan?

Jika ada orang ramai atau keluarga yang khuatir mengenai demensia dan menunjukkan 10 tanda amaran demensia, pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan adalah disarankan. Jika terdapat tanda-tanda demensia, doktor boleh membuat rujukan kepada klinik pakar yang berkaitan untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanakah keluarga sepatutnya berkomunikasi dengan individu yang mengalami demensia?

Cara berkomunikasi dengan individu yang mengalami demensia adalah seperti :

- Bercakap dengan tenang dan sabar dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami.

- Berikan arahan satu persatu secara perlahan.

- Elakkan membantah atau membetulkan percakapan mereka jika boleh menyebabkan mereka berasa sedih, marah atau tertekan.

- Cuba fahami perasaan mereka dan alihkan perhatian apabila bersesuaian.

- Fahami perubahan tingkah laku kerana ia bukan semestinya disengajakan.

- Bersabar jika mereka mengulangi soalan, cerita atau maklumat yang sama.

Apakah cabaran utama yang biasanya dihadapi oleh penjaga?

Menjadi penjaga kepada individu dengan demensia bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran yang dihadapi adalah seperti :

- Perubahan peranan dalam keluarga.

- Perubahan emosi individu yang dijaga.

- Menjadi penjaga sepenuh masa.

- Kurangnya pemahaman daripada masyarakat atau ahli keluarga lain.

- Kurang masa untuk berehat serta menjaga kesejahteraan diri.

Bagaimanakah masyarakat boleh menjadi lebih mesra demensia?

Masyarakat boleh memainkan peranan dengan :

- Belajar dan memahami apa itu demensia.

- Elakkan daripada menghakimi, membuat andaian atau menyalahkan individu, penjaga mahupun keluarga sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

- Ambil berat akan kesejahteraan penjaga demensia dari segi fizikal dan emosi.

Masyarakat haruslah menghapuskan stigma dan mengelakkan daripada mudah menghakimi apabila berlaku sesuatu kejadian. Sebaliknya, mereka memerlukan kefahaman, empati dan sokongan daripada masyarakat dalam menghadapi cabaran yang dilalui.