Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
YOGYAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 18 November. – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) baru-baru ini telah menyertai Bengkel Harmonisasi Kurikulum Penghayatan Beragama Negara Anggota MABIMS Tahun 2026 yang diadakan pada 13 hingga 17 November 2026, bertempat di Grand Keisha Hotel, Sleman, Yogyakarta, Republik Indonesia.
Bengkel anjuran Kementerian Agama Republik Indonesia dengan tema ‘MABIMS HARMONY 2026 : Faith in Harmony, Humanity in Action’ tersebut menghimpunkan wakil-wakil daripada negara anggota MABIMS dengan tujuan mengenal pasti persamaan dalam kurikulum penghayatan beragama serta merumuskan cadangan bersama bagi pembangunannya.
Selain delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia dan Republik Singapura, bengkel berkenaan turut disertai oleh pegawai-pegawai Direktorat Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia serta pengetua-pengetua madrasah terkemuka dari seluruh Republik Indonesia, antaranya dari MAN (Madrasah Aliyah Negeri) 1 Yogyakarta, MTsN (Madrasah Tsanawiyah Negeri) 1 Sleman, MAN Insan Cendekia Gorontalo, MTsN 1 Kota Kediri, MAN 2 Kota Malang dan MAN 2 Kudus.
Perwakilan KHEU terdiri daripada empat pegawai, iaitu Pegawai Pelajaran Ugama Kanan dan Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Awang Haji Johar bin Haji Jumat, selaku ketua delegasi dan pembentang; Guru Besar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, selaku peserta; Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, JPI, Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini, selaku peserta; dan Pegawai Pelajaran, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU, Dayang Normassahrol Hafyzah binti Ahmad Sah, selaku Sekretariat MABIMS NBD.
Penyertaan NBD dalam bengkel tersebut sejajar dengan usaha KHEU untuk terus memperkukuh kurikulum dan penghayatan berugama dalam sistem pendidikan ugama negara melalui perkongsian dasar, pengalaman dan amalan terbaik dengan negara anggota MABIMS lain.
Selain itu, penglibatan berkenaan juga menyokong pelaksanaan Rancangan Strategik MABIMS 2026-2030 serta memperkukuh silaturahim dan jaringan profesional antara pegawai serta institusi pendidikan ugama serantau.
Bengkel berkenaan turut memuatkan sesi pembentangan kurikulum oleh setiap negara anggota, termasuk pembentangan bertajuk ‘Kurikulum Penghayatan Berugama dalam Konteks NBD’, perbincangan panel mengenai Kurikulum Berbasis Cinta dan tadbir urus madrasah, lawatan budaya ke Masjid Gedhe Kauman, Keraton Yogyakarta dan Candi Prambanan, serta lawatan peninjauan ke MAN 2 Kulon Progo yang bertujuan memberikan pengalaman langsung dalam pelaksanaan Modified Teaching Factory yang menggabungkan latihan kemahiran dengan penerapan akhlak mulia.
KHEU berharap penyertaan berkenaan akan memberi manfaat besar khususnya dalam meningkatkan kurikulum dan penghayatan berugama dalam sistem pendidikan ugama di NBD.