Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Asri Awang Haji Abas
TEMBURONG, Sabtu, 8 Ogos. - Upacara Penurunan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 Peringkat Daerah Temburong telah diadakan di kawasan letak kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, Peringkat Daerah Temburong, Ketua-ketua Cawangan Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Temburong, penghulu mukim, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Imam Masjid Kampung Puni, Mukim Bangar, Temburong, Awang Muhammad Hafizuddin bin Awang Masri, diikuti dengan Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan'.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Upacara Penurunan Bendera NBD dan penyerahan bendera tersebut kepada tetamu kehormat majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Upacara Penurunan Bendera NBD ini menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah kediaman semua rakyat dan penduduk di NBD sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.