Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
TUNGKU LINK, Khamis, 19 November. - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), buat julung kalinya menganjurkan Forum Iklim Kebangsaan 2026 bertempat di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Forum tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai fenomena iklim serta kepentingan kesiapsiagaan awal dalam menghadapi potensi kesannya terhadap negara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Forum ini memberi tumpuan kepada fenomena El Niño yang sangat kuat dan potensi kesannya terhadap Negara Brunei Darussalam, khususnya pengurangan jumlah turunan hujan, peningkatan suhu serta keadaan cuaca yang lebih panas dan kering yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, jerebu serta menjejaskan kesihatan awam.
Pemangku Pengarah Kajicuaca, Dayang Rokiah binti Haji Angas selaku Pengerusi Forum Iklim Kebangsaan 2026 dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa penganjuran forum ini merupakan salah satu inisiatif dan produk perkhidmatan baharu BDMD bagi memperluaskan penyampaian maklumat dan khidmat nasihat iklim kepada masyarakat serta agensi-agensi berkepentingan, sekali gus meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko iklim.
Beliau turut menekankan bahawa pemilihan fenomena El Niño sebagai fokus forum adalah bertepatan dengan perkembangan iklim semasa yang memerlukan perhatian daripada semua pihak.
Dalam hubungan ini, maklumat dan khidmat nasihat iklim memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat dan agensi-agensi berkepentingan memahami potensi risiko, merancang langkah-langkah persediaan serta mengambil tindakan awal yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko dan kesan fenomena El Niño terhadap masyarakat dan negara.
Penganjuran forum ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BDMD dalam mendukung Wawasan Brunei 2035, khususnya matlamatnya, iaitu Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi, melalui Keutamaan Kebangsaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, yang menjurus kepada Hasil Pencapaian Kebangsaan iaitu Negara Hijau.
Usaha ini mencerminkan peranan BDMD dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu iklim serta menyokong usaha ke arah persekitaran yang lebih selamat dan mampan.
Forum tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Kilanas, Awang Mohd Redzuan bin Haji Marjuki.
Forum ini menampilkan ucaptama pembukaan oleh Emeritus Profesor Dr. Fredolin Tangang daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD mengenai fenomena El Niño serta pengaruhnya terhadap corak cuaca dan iklim di peringkat global dan serantau.
Sesi perbincangan bertemakan ‘Tinjauan El Niño dan Potensi Impaknya terhadap Cuaca dan Negara Brunei Darussalam’ pula menghimpunkan empat orang ahli panel, iaitu Pegawai Kajicuaca, BDMD; Dayang Nurulinani binti Haji Jahari; Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pejabat Perubahan Iklim Brunei (BCCO), Dayang Siti Nur Rashidah binti Haji Ismail; Pegawai Pengurusan Bencana Kanan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Dayang Rina Nurhafizah Rezza binti Abdul Rani dan Pegawai Perubatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Dayang Dr. Nourul Hayati Azrina binti Haji Jaman.
Perbincangan forum mengetengahkan perkembangan dan tinjauan terkini fenomena El Niño, termasuk jangkaan keadaan cuaca dan iklim negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang serta potensi implikasinya terhadap pelbagai sektor.
Dari aspek kesiapsiagaan, ahli-ahli panel turut berkongsi peranan dan usaha agensi masing-masing, termasuk penggunaan maklumat dan khidmat nasihat iklim oleh BDMD bagi menyokong tindakan awal, langkah pencegahan kebakaran dan penyelarasan pengurusan bencana, serta usaha memperkukuh daya tahan iklim negara melalui langkah-langkah adaptasi dan perancangan jangka panjang bagi mengurangkan risiko serta kesan cuaca ekstrem. Penekanan turut diberikan kepada langkah-langkah perlindungan kesihatan awam, khususnya dalam menghadapi keadaan cuaca panas dan risiko jerebu.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk sentiasa mengikuti maklumat, ramalan dan khidmat nasihat cuaca serta iklim rasmi yang dikeluarkan oleh BDMD, mengelakkan pembakaran terbuka serta melaporkan kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa dengan segera.
Bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas, orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan pengambilan air yang mencukupi, mengehadkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan memberikan perhatian kepada golongan yang lebih berisiko, termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.
Acara diakhiri dengan lawatan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi ke pameran mini yang mengetengahkan maklumat dan inisiatif berkaitan cuaca dan iklim serta perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi yang mengambil bahagian.
Turut hadir di forum berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, wakil-wakil kementerian dan sektor swasta serta para pelajar daripada institusi pengajian tinggi.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).