Tingkatkan kefahaman ilmu tajwid

18 Nov 2026 - 6:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong

TUTONG, Selasa, 17 November. - Satu Sesi Kongsi Sama bertajuk ‘Kepentingan Tajwid Dalam Pembacaan Al-Quran’ anjuran Kumpulan Lajnah Pendidikan Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT) sempena Sambutan Jubli Intan MHBPT telah diadakan di Dewan Solat Utama MHBPT.

Kongsi sama tersebut telah disampaikan oleh Pensyarah Pusat Ilmu Teras (PIT) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Muhammad Zainul Ariffin bin Ridhuan Lubis.

Kongsi sama ini telah menghimpunkan seramai kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk guru-guru sekolah ugama di Daerah Tutong, Asatizah Pembimbing Muslimah, Kumpulan Muslimah masjid-masjid di Daerah Tutong, Persatuan Saudara-saudara Baharu (PESATU), Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Tenaga Pengajar Nuqra dan AJK Muslimin daripada masjid-masjid Daerah Tutong serta orang ramai.

Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman tentang ilmu tajwid dalam kalangan masyarakat dan untuk memperbaiki mutu bacaan Al-Quran bertajwid agar lebih tepat dan indah tanpa mengubah makna asal ayat Al-Quran. Di samping itu, ia juga dihasratkan sebagai wadah untuk para peserta mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam membaca Al-Quran demi meraih keberkatan dan ganjaran pahala di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.

Antara lain, perkara yang dikongsikan adalah hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu kifayah, manakala membaca Al-Quran mengikut tajwid adalah fardu ain atau wajib. Ini adalah kerana Allah menurunkan bacaan Al-Quran menggunakan tajwid dan demikianlah dengan tajwid, Al-Quran sampai kepada kita.

Majlis diikuti dengan sesi soal jawab dan demonstrasi bacaan Surah Al-Fatihah daripada salah seorang peserta.

Cenderahati penghargaan telah disampaikan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Dayang Hajah Zainun binti Haji Md. Daud.

Majlis diakhiri dengan bacaan ‘kafaratul’ majlis dan Surah Al-'Asr.