TAP akhiri kepengerusian ASSA Sesi 2025 / 2026

19 Nov 2026 - 6:36am

Siaran Akhbar dan Foto : Tabung Amanah Pekerja

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 18 November. - Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengakhiri kepengerusiannya bagi ASEAN Social Security Association (ASSA) untuk Sesi 2025 / 2026 sempena Mesyuarat Lembaga ASSA Ke-43 yang berlangsung di Republik Singapura.

Sebagai Pengerusi ASSA bagi Sesi 2025 / 2026, Pengarah Urusan Interim TAP, Awang Azmilen bin Haji Ramlee telah menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan ASSA Ke-43 yang berlangsung dengan tema ‘Advancing Inclusive, Sustainable & Lifelong Social Protection for All’.

Majlis pembukaan persidangan turut disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Republik Singapura, Yang Berhormat Puan Jasmin Lau.

Dalam ucapannya, Awang Azmilen menekankan bahawa walaupun landskap pekerjaan, perubahan demografi dan jangkaan masyarakat terus berkembang, matlamat utama perlindungan sosial kekal sama iaitu menyediakan perlindungan, maruah dan jaminan kewangan kepada individu dan keluarga sepanjang hayat mereka.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan sistem perlindungan sosial terus relevan dan responsif terhadap perubahan corak pekerjaan, termasuk peningkatan ekonomi ‘gig’, pekerjaan fleksibel dan keusahawanan, di samping menangani cabaran dalam menghadapi penuaan penduduk serta untuk mencapai tahap celik kewangan serta transformasi digital yang direncanakan.

Menurut beliau, kerjasama serantau melalui ASSA memainkan peranan penting dalam membolehkan institusi keselamatan sosial berkongsi pengetahuan, amalan terbaik dan penyelesaian praktikal bagi menghadapi cabaran-cabaran yang sama di rantau ASEAN.

Sebagai sebahagian daripada sesi perkongsian ilmu serta amalan terbaik ASSA, TAP juga telah mengongsikan pengalaman melalui Program Jangkauan SE : TAPak iaitu sebuah platform jangkauan strategik yang diwujudkan bagi meningkatkan lagi kesedaran dan penyertaan bagi golongan bekerja sendiri dalam Skim Persaraan Kebangsaan (SPK SE).

Program tersebut menyampaikan pendidikan persaraan dan maklumat keselamatan sosial secara langsung kepada komuniti bekerja sendiri melalui penglibatan di acara kemasyarakatan atau aktiviti-aktiviti perniagaan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pada mesyuarat tersebut, Awang Azmilen secara rasmi telah menyerahkan kepengerusian ASSA kepada Ketua Pegawai Eksekutif Central Provident Fund (CPF) Board, Republik Singapura, Melissa Khoo, yang akan memegang jawatan Pengerusi ASSA bagi Sesi 2026 / 2027.

Penyerahan ini menandakan berakhirnya kepengerusian NBD bagi Sesi 2025 / 2026 yang telah memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam kalangan institusi keselamatan sosial ahli ASSA.

Ditubuhkan pada tahun 1998, ASSA merupakan platform kerjasama serantau yang menghimpunkan institusi keselamatan sosial dari negara-negara ASEAN bagi menggalakkan pertukaran pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan kerjasama ke arah memperkukuh sistem perlindungan sosial di rantau ini. Mesyuarat Lembaga ASSA Ke-44 seterusnya akan dihoskan oleh Thailand pada tahun 2027.