Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Sepanjang temasya Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) berlangsung, pelbagai detik kemeriahan dan semangat kesukanan telah disaksikan, sekali gus mencetuskan gelombang positif dalam kalangan masyarakat di keempat-empat daerah, khususnya para atlet, pasukan dan kontinjen yang bertanding.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Rasmi Kejohanan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi, menjelaskan bahawa suasana sepanjang temasya berkenaan bukan sahaja membangkitkan semangat kebanggaan dan persaingan sihat dalam kalangan atlet, malah turut membuka ruang kepada pembentukan jalinan hubungan serta persahabatan baharu yang memperkukuh perpaduan masyarakat.
Menurutnya, perkara tersebut adalah selaras dengan tema SKBD, iaitu ‘Bersama Mengejar Kegemilangan’.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menjelaskan bahawa penganjuran SKBD bertujuan menggalakkan daya saing serta memberikan pendedahan kepada atlet tempatan terhadap suasana pertandingan sebenar.
Melalui platform berkenaan, para atlet berpeluang mengukur dan menguji tahap prestasi masing-masing, sekali gus menjadikannya sebagai pembakar semangat dan batu loncatan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa momentum kejayaan yang telah dicapai sepanjang temasya berkenaan tidak seharusnya terhenti setakat itu sahaja.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat menyeru semua persatuan sukan, barisan kejurulatihan, atlet serta pihak berkepentingan untuk menjadikan pencapaian tersebut sebagai landasan kukuh bagi terus melangkah ke hadapan melalui usaha berterusan, kesinambungan program pembangunan yang terancang serta komitmen yang lebih tinggi dalam meningkatkan mutu prestasi atlet negara.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan latihan yang konsisten, penilaian prestasi secara menyeluruh dan persiapan yang lebih sistematik bagi menghadapi kejohanan akan datang, khususnya Sukan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-34 yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun 2027.