Semai kesedaran generasi muda mengenai kepentingan ilmu fardu kifayah

17 Nov 2026 - 5:12am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Ihsan Ar-Razaq Kifayah Management

ANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 November. - Dalam usaha berterusan untuk memartabatkan kefahaman serta keseragaman tatacara pengurusan jenazah mengikut lunas syarak, sebuah Buku Panduan Pengurusan Jenazah telah dilancarkan baru-baru ini semasa berlangsungnya Majlis Mawaddah Ar-Razaq 2026 anjuran Ar-Razaq Kifayah Management bertempat di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Adapun penganjuran Majlis Pelancaran Buku Panduan Pengurusan Jenazah di Majlis Mawaddah Ar-Razaq 2026 ini bertujuan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat umum khususnya generasi muda mengenai kepentingan ilmu fardu kifayah ini agar ia terus diwarisi dan dipraktikkan dengan penuh tertib dan hemah.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis pelancaran buku berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang sekali gus bagi menyempurnakan sesi penyerahan Buku Panduan Pengurusan Jenazah kepada wakil masjid-masjid yang terpilih.

Penyerahan buku tersebut merupakan inisiatif strategik bagi memastikan institusi masjid mempunyai bahan rujukan yang komprehensif, tepat dan mudah difahami oleh para pegawai masjid, ahli jawatankuasa takmir serta para sukarelawan pengurusan jenazah di peringkat kariah.

Dengan adanya penyelarasan menerusi buku panduan ini, ia juga diharap agar pelaksanaan pengurusan jenazah di masjid-masjid terpilih dan komuniti setempat akan menjadi lebih teratur, lancar serta dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan anak kariah pada masa akan datang.