Raikan kanak-kanak istimewa, tingkat kesedaran mengenai autisme

13 Nov 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Y-LITE 2026

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Y-Lite 2026 dan GirlUp BruGen dengan kerjasama Rising Star Child Development School serta Majlis Belia Brunei (MBB), baru-baru ini telah menganjurkan Little Crafter’s Workshop dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Program berkenaan turut ditaja oleh Palate Fun & Cafe dan telah berlangsung pada Sabtu, 7 November 2026 bertempat di Palate Fun & Cafe, Kiarong.

Penganjuran bengkel yang diadakan sempena Hari Senyuman Sedunia (World Smile Day) 2026 berkenaan bertujuan untuk meraikan serta memberi kesedaran awam kepada kanak-kanak istimewa, khususnya mereka yang berada dalam spektrum autisme.

Inisiatif berkenaan menekankan kepentingan perhatian, sokongan, serta penyediaan ruang inklusif dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam, di samping berusaha menepis stigma sosial terhadap golongan berkenaan.

Bergerak atas asas dan dorongan Y-Lite 2026, GirlUp BruGen melangkah setapak dalam memperkasa nilai inklusiviti serta memberi sokongan padu kepada kanak-kanak demi mengukuhkan institusi keluarga dan pembinaan tonggak masyarakat.

Program tersebut turut menyediakan ruang perkongsian bagi memahami pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa dan tenaga pengajar dalam penjagaan dan pendidikan anak-anak autisme.

Antara pengisian utama acara termasuklah aktiviti ‘Animal Crafting’, yang dirancang khusus untuk merangsang imaginasi kanak-kanak dalam penghasilan kraf tangan serta meningkatkan koordinasi motor halus mereka.

Memandangkan pengurusan ekspresi emosi merupakan antara cabaran utama bagi kanak-kanak autisme, serta emosi kerap berada pada dua tahap yang ekstrem, aktiviti penghasilan kad ‘My Smile’ turut diperkenalkan. Kad khas berkenaan ditujukan kepada orang terdekat, terutamanya ibu bapa sendiri, bagi menggalakkan peserta meluahkan emosi secara peribadi dan positif.

Kemuncak acara disusuli dengan sesi penghargaan yang dirasmikan oleh tetamu kehormat program, Ketua Cawangan Daerah Tutong, JBS, Dayang Amhra Farahiyah binti Haji Mohd. Hamdillah.

Sesi tersebut diadakan bagi mengiktiraf penyertaan kanak-kanak serta tenaga pengajar yang telah memeriahkan lagi penganjuran bengkel berkenaan.

Adalah diharapkan agar program seumpamanya dapat membuka perspektif masyarakat mengenai peranan penting kanak-kanak sebagai pelapis generasi akan datang, sekali gus mendukung aspirasi belia serta Wawasan Brunei 2035 ke arah pembentukan masyarakat yang inklusif dan saling menyokong.