Pupuk kefahaman mengenai kenegaraan, tingkatkan kesedaran sivik

20 Nov 2026 - 5:54am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. DauddinFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

MASIN, Khamis, 19 November. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik dengan kerjasama Sekolah Menengah Masin telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) bertempat di Dewan Auditorium sekolah berkenaan dan dihadiri oleh seramai 106 orang pelajar Tahun 9 dan 10 dari Sekolah Menengah Masin.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan dalam mendekati golongan remaja di sekolah-sekolah seluruh negara bagi memupuk kefahaman mengenai kenegaraan, meningkatkan kesedaran sivik serta menggalakkan penyebaran maklumat yang tepat dan beretika dalam kalangan pelajar.

Selain itu, Program RRP bertujuan menanamkan nilai-nilai murni, semangat patriotik dan rasa cintakan negara melalui pendekatan pendidikan, interaksi dan hiburan terarah yang berimpak positif.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Superintendent 2, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Norwen binti Haji Brahim.

Turut hadir ialah Timbalan Pengetua (Akademik) Sekolah Menengah Masin, Dayang Nur Adyani binti Haji Yusop; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Sekolah Menengah Masin, Dayang Nur Shumaimah binti Haji Abdul Amin; Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim serta Ketua Kampung Masin, Pegawai-pegawai Jabatan Penerangan, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru kanan serta tenaga pengajar sekolah.

Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan lagu patriotik 'Bendera Negara' dan diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pelajar Tahun 9 Sapphire wakil pelajar Badan Agama Dan Akhlak, BADA, Awang Muhammad Farish Danial bin Mazli.

Dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Pengetua (Akademik) Sekolah Menengah Masin, Dayang Nur Adyani binti Haji Yusop, menyatakan Program RRP ini merupakan satu inisiatif yang amat bermanfaat dalam meningkatkan kesedaran sivik, memupuk semangat kenegaraan serta membentuk jati diri dan nilai-nilai positif dalam kalangan remaja.

Beliau menambah di samping pengisian yang menarik seperti Taklimat Kenegaraan, persembahan dan aktiviti interaktif, apa yang lebih penting ialah para pelajar dapat memahami, menghayati serta mengambil iktibar daripada mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang disampaikan melalui pengisian program.

Selain itu, beliau berharap semoga segala ilmu, pengalaman dan pengajaran yang diperoleh dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membentuk diri sendiri sebagai remaja yang bertanggungjawab dan warganegara yang baik.

Program RRP dimulakan dengan persembahan sajak bertajuk 'Pengemis Kota' yang disampaikan oleh Mohammad Nazairin Al-Syukri bin Abdullah Al Hazmi, Pelajar 11 Lily.

Turut dipersembahkan ialah tayangan video bertajuk 'Be An Upstander, Not A Bystander' yang dihasilkan oleh pelajar Tahun 9 Amber. Video ini membawa mesej tentang gejala buli agar ianya tidak berleluasa dalam kalangan pelajar.

Persembahan sketsa bertajuk 'Apa Untungnya' oleh kumpulan Seni Kreatif Insan Seni menampilkan mesej kesedaran mengenai keburukan gejala buli, merokok dan ‘vape’ serta membuang masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah yang merugikan diri sendiri dan orang lain.

Lakonan turut menyelitkan peranan semua pihak termasuk guru, pelajar dan ibu bapa dalam menangani isu-isu sosial.

Taklimat bertajuk 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris. Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara serta lagu kebangsaan negara.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan yang menampilkan bakat serta kreativiti para pelajar iaitu persembahan silat oleh para pelajar Tahun 9, 10 dan 11 dan persembahan pementasan Gulintangan instrumental bertajuk 'Samudera Cita-Cita' berkonsepkan penceritaan tentang perjuangan dan cabaran pelajar dalam menuntut ilmu.

Program RRP turut dimeriahkan dengan persembahan lawak jenaka daripada Kumpulan SYAFDI, yang menyelitkan pengajaran tentang penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara berhemah, keburukan merokok dan ‘vape’ serta belajar membahagi masa dengan bijak. Turut diselitkan persembahan nyanyian oleh artis tempatan, Naz Asri yang membawakan lagu 'Teh Hijau' dan 'Panah Asmara'.

Kuiz Kenegaraan turut diadakan bagi menguji kefahaman pelajar yang hadir tentang taklimat yang disampaikan di awal program. Penyampaian cenderamata kepada pemenang kuiz disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.