Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pencegahan dan pengesanan awal penyakit diabetes, Kementerian Kesihatan malam tadi mengadakan acara Glow Walk for Diabetes 2026 bersempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026 yang berlangsung di Dermaga Diraja, di ibu negara, di sini.
Acara yang mengetengahkan tema Hari Diabetes Sedunia 2026, 'Tindakan Awal Terhadap Diabetes' (Early Action on Diabetes) itu antara lain bertujuan untuk menggalakkan masyarakat agar lebih peka terhadap faktor risiko penyakit diabetes, di samping membudayakan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kehidupan seharian.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Dasar) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; serta para pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi memanaskan badan yang disertai oleh para peserta sebelum acara utama, iaitu pelepasan peserta Glow Walk for Diabetes 2026 sejauh tiga kilometer yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara berjalan kaki pada sebelah malam itu bukan sahaja memberikan peluang kepada para peserta untuk melakukan aktiviti fizikal secara santai, malah turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat ke arah mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.
Selain acara berjalan kaki, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, termasuk pameran pendidikan kesihatan dan pemeriksaan kesihatan yang memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan penyakit diabetes, faktor risiko, langkah pencegahan serta kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Melalui aktiviti berkenaan, para pengunjung berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan mengawal pemakanan, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, mengekalkan berat badan yang sihat serta mengambil langkah awal bagi mengurangkan risiko menghidap Diabetes Jenis 2.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan berjumlah BND1,350 kepada Tabung Amanah Bantuan Pesakit (TABP) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kebajikan dan kesejahteraan pesakit yang memerlukan bantuan.
Penganjuran Glow Walk for Diabetes 2026 dikelolakan oleh Unit Endokrin, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Limin Cardio Fitness, merupakan antara inisiatif dalam memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit diabetes, khususnya mengenai kepentingan pengesanan awal, pencegahan dan pengurusan penyakit berkenaan secara berkesan.
Sambutan Hari Diabetes Sedunia yang diraikan pada setiap 14 November merupakan platform penting dalam meningkatkan kesedaran global mengenai penyakit diabetes serta menggalakkan tindakan bersama ke arah pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit berkenaan.
Melalui penganjuran acara seumpama ini, dihasratkan agar masyarakat akan terus mengambil pendekatan proaktif dalam menjaga kesihatan, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan seharian demi meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.