Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pengajian Islam
TEMBURONG, Selasa, 10 November. - Ke arah menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus memperkukuh pelbagai inisiatif berstrategik bagi membudayakan kecemerlangan akademik serta mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Sekolah Arab Temburong pagi tadi mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal 'Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan ‘PSR SIUK: Journey Beyond Borders’ yang diadakan di sekolah berkenaan.
Program tersebut melibatkan seramai 35 orang pelajar Sanah 6 daripada lima buah sekolah Arab, iaitu Sekolah Arab Temburong, Sekolah Arab Belait, Ma'had Islam Brunei, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Bahagian Kurikulum JPI, KHEU, Awang Haji Johar bin Haji Jumat.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Arab Temburong, Dayang Serikartini binti Haji Omar.
Seterusnya, acara diteruskan dengan pelancaran program, diikuti pertandingan berkonsepkan pengembaraan dan kuiz interaktif, sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Program Ilal Majdi Wal 'Ula antara lain bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap isi pelajaran serta mempelbagaikan kaedah pembelajaran melalui pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Selain menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, kreatif dan spontan, program ini turut memupuk semangat kerjasama serta persaingan sihat dalam kalangan pelajar, di samping memperkukuh keyakinan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah.