PPNBD sertai Kursus Selamat Dari Bahaya Kebangsaan Zon Borneo

22 Nov 2026 - 6:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

KUCHING, SARAWAK, Sabtu, 21 November. - Seramai enam orang wakil Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menyertai Kursus Selamat Dari Bahaya Kebangsaan Zon Borneo (National Safe From Harm Course - Borneo Zone) yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November 2026 bertempat di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sarawak, Jalan Batu Lintang, Kuching, Sarawak.

Kursus tersebut juga disertai seramai 66 orang peserta Malaysia, Thailand, Republik Indonesia dan Hong Kong. Penyertaan delegasi PPNBD yang diketuai oleh Pesuruhjaya Latihan (Training Commissioner), Awang Zainudin bin Haji Ishak, juga selaku Brunei Darussalam Scout Safe from Harm Coordinator.

Kursus ini merupakan satu usaha untuk memperkukuh pengetahuan, kefahaman dan kompetensi dalam aspek perlindungan, keselamatan serta kesejahteraan ahli pengakap, selaras dengan prinsip mewujudkan persekitaran kepengakapan yang selamat dan terjamin untuk semua.

Majlis Perasmian Kursus Selamat Dari Bahaya Kebangsaan Zon Borneo telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Dato' Mohamad Safri bin Datuk Haji Abdillah, merangkap Naib Presiden Majlis Pengakap Malaysia selaku tetamu kehormat.

Sepanjang kursus, para peserta mengikuti pelbagai sesi pembelajaran dan perkongsian yang merangkumi pengenalan kepada Safe From Harm (SfH), matlamat, polisi dan kod tatakelakuan, tanggungjawab individu dalam pelaksanaan SfH, semakan latar belakang orang dewasa, kesedaran undang-undang, keselamatan dalam talian serta pembentukan persekitaran kepengakapan yang selamat.

Selain itu, kursus turut merangkumi kajian kes, prosedur pelaporan, pendekatan Listening Ear, implementasi Listening Ear, sokongan emosi, latihan simulasi berasaskan senario, etika dan integriti dalam pengendalian kes, serta langkah pencegahan dan tindakan semasa aktiviti, perkhemahan dan acara pengakap.

Kursus ini adalah diharap dapat memberikan pendedahan, pengalaman serta perkongsian amalan terbaik bersama perwakilan Zon Borneo, sekali gus memperkukuh pelaksanaan prinsip SfH dalam pergerakan pengakap di Negara Brunei Darussalam.

Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dan dikongsikan kepada pemimpin, penolong pemimpin serta ahli pengakap di pelbagai peringkat, dalam usaha membina budaya kepengakapan yang bertanggungjawab, prihatin, berintegriti dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kebajikan setiap ahli.

SfH bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi komitmen bersama dalam memastikan setiap ahli pengakap dapat belajar, berkembang dan beraktiviti dalam persekitaran yang selamat.