Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Jumaat, 13 November. - Pertandingan Pencak Silat sempena Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, 2026, melabuhkan tirainya dengan perlawanan peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Pertandingan akhir berkenaan menyaksikan empat pertemuan bagi VIP Game yang memperlihatkan persaingan sengit antara para pesilat daripada kontinjen yang bertanding.
Bagi Kelas D, perlawanan mempertemukan kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) menentang Daerah Tutong membuahkan hasil setelah muncul juara dalam kategori Lelaki Remaja yang diwakili oleh Awang Muhammad Khairul Hafiy bin Muhd. Haddi.
Manakala bagi kategori Kelas A - Wanita Dewasa, Dayang Fatin Hazirah binti Muhidi, juga dari kontinjen MS SSBD, berjaya meraih gelaran juara.
Sementara itu, bagi kategori Kelas E - Lelaki Dewasa, menyaksikan kontinjen MSPPDB yang diwakili oleh APO 7292 Nazirul Faiz bin Bahrin dinobatkan sebagai juara setelah menewaskan kontinjen dari Daerah Belait.
Manakala bagi kategori Berpasukan (3x3), perlawanan akhir berpihak kepada pasukan MS SSBD ketika muncul juara selepas menewaskan pasukan Daerah Tutong.
Perlawanan akhir tersebut menyaksikan para pesilat memperlihatkan kemahiran, ketangkasan serta strategi masing-masing dalam usaha memburu kemenangan, sekali gus memberikan saingan menarik kepada para penonton yang hadir.
Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan pertandingan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Pencak Silat merupakan seni bela diri tradisional nusantara yang menggabungkan unsur seni, pertahanan diri, ketangkasan dan disiplin. Sukan berkenaan bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan kemahiran teknikal para pesilat, malah turut memupuk semangat keberanian, keyakinan diri serta menghormati lawan.
Aturcara malam tadi turut diserikan dengan Persembahan Penutup Gelenggang dan Perarakan Keris sebagai simbolik penutup acara Pencak Silat bagi SKBD Ke-V, 2026.
Sukan Pencak Silat adalah antara acara yang dipertandingkan dalam SKBD Ke-V, 2026, penganjuran pertandingan berkenaan diharap akan terus menyemarakkan perkembangan sukan pencak silat di negara ini, di samping melahirkan atlet yang berpotensi serta memupuk semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan dalam kalangan peserta.