Perpustakaan DBP Daerah Tutong anjur Festival Mini

20 Nov 2026 - 5:24am

Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

TUTONG, Khamis, 19 November. - Festival Mini yang dikendalikan oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Tutong adalah merupakan salah satu rancangan tahunan perpustakaan berkenaan.

Dengan membawa tema 'Sung Dai Li Perpustakaan Tutong' yang bermaksud 'Marilah Ke Perpustakaan Tutong' diadakan selama dua hari bermula Rabu, 18 November dan berakhir hari ini. Festival Mini berkenaan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

Menurut Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat II, Perpustakaan DBP Daerah Tutong, Dayang Norhadijah binti Haji Abdul Wahab semasa ditemu bual menjelaskan bahawa tujuan Festival Mini itu diadakan ialah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan melalui membaca.

Selain itu tambahnya, ia juga bagi memperkasa budaya membaca dalam kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam, menjadikan perpustakaan sebagai pusat sumber ilmu, melaksanakan visi dan misi perpustakaan dan juga dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke perpustakaan.

Kongsinya lagi, Festival Mini tersebut disasarkan kepada kanak-kanak, pelajar sekolah, ibu bapa dan keluarga, guru-guru dan pengguna-pengguna perpustakaan serta orang awam.

Pelbagai aktiviti disediakan yang berunsurkan pendidikan dan ilmu pengetahuan, kreativiti, pertunjukan cerita bayangan dan sebagainya. Para pengunjung juga berkesempatan untuk melakat potret karikatur bersama pelukis-pelukis DBP.

Turut memeriahkan juga, DBP Daerah Tutong telah menjemput Jabatan Muzium-muzium bagi menunjuk cara permainan tradisi Brunei.

Perpustakaan Daerah Tutong mengalu-alukan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa kanak-kanak yang berumur 1 hingga 5 tahun untuk mengikuti Program Literasi Awal dan beberapa aktiviti dan kegiatan yang disediakan yang berunsurkan pendidikan awal kanak-kanak sebelum mereka mencecah alam persekolahan.