Perkukuh kerjasama serantau di JCAA Global Arbitration Forum 2026

18 Nov 2026 - 7:45am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Darussalam Arbitration Centre

TOKYO, Selasa, 17 November. - Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) baru-baru ini telah menghadiri JCAA Global Arbitration Forum 2026 yang dianjurkan oleh Japan Commercial Arbitration Association (JCAA) pada 12 hingga 13 November 2026 di Tokyo, Jepun.

Forum yang berlangsung selama dua hari berkenaan telah menyediakan forum bagi membincangkan perkembangan peranan Jepun dalam bidang timbang tara antarabangsa, di samping mengetengahkan kedudukan JCAA serta Jepun dalam landskap timbang tara global.

Sebagai sebahagian daripada program forum tersebut, BDAC telah menyertai satu sesi perbincangan panel bertajuk ‘Institutional Session: Building Capacity and Expanding Arbitration Across Asia’.

Sesi ini menghimpunkan wakil-wakil daripada institusi timbang tara serantau bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan institusi, pembangunan keupayaan serta peluang dan cabaran strategik dalam memperkembangkan perkhidmatan timbang tara di bidang kuasa masing-masing.

Panel tersebut menampilkan Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BDAC, Dayang Hajah Zuraidah binti POKPI DP Haji Sidek; Pengerusi Mongolian International Arbitration Center (MIAC), Enkhtsetseg Sukhbaatar; Penolong Setiausaha Korporat Philippine International Center for Conflict Resolution (PICCR), Jacques Lynn serta Robert Wachter daripada Shin & Kim LLC, Seoul, yang mewakili KCAB International.

Perbincangan tersebut telah dikendalikan oleh Tony Andriotis, Partner di Novara Advisory Partners.

Antara perkara utama yang diketengahkan dalam perbincangan panel tersebut ialah kepentingan kerjasama berbanding persaingan dalam menyokong perkembangan institusi timbang tara yang sedang berkembang di seluruh Asia.

Walaupun pusat-pusat timbang tara ini berhadapan dengan cabaran yang hampir serupa, seperti memperkukuh kerangka institusi, membangunkan kepakaran profesional dan meningkatkan kesedaran masyarakat, para ahli panel menekankan bahawa setiap bidang kuasa mempunyai persekitaran perundangan dan komersial tersendiri yang dipengaruhi oleh keutamaan serta keperluan ekonomi tempatan.

Sehubungan itu, perbincangan tersebut menekankan bahawa pembangunan institusi sewajarnya berasaskan kekuatan dan keunikan setiap bidang kuasa dan bukannya bergantung kepada pendekatan yang seragam bagi semua.

Dengan mengambil kira perbezaan tersebut, pusat-pusat timbang tara berpeluang mengenal pasti kekuatan yang saling melengkapi, berkongsi pengetahuan dan pengalaman praktikal, serta menjalin kerjasama yang bermakna demi menyokong matlamat masing-masing dan memperkukuh rangka kerja timbang tara serantau secara keseluruhannya.

Sesi tersebut turut mengetengahkan peranan kerjasama serantau, perkongsian ilmu dan inisiatif pembangunan keupayaan yang berdasar dalam menangani cabaran operasi yang dikongsi bersama.

Melalui perkongsian pengalaman dengan institusi lain yang berada pada pelbagai tingkat perkembangan, institusi yang sedang membangun berpeluang mempertingkatkan keupayaan masing-masing serta menyesuaikan perkhidmatan yang ditawarkan agar memenuhi keperluan khusus pasaran tempatan.

Penyertaan BDAC dalam forum tersebut telah membuka peluang untuk berkongsi pandangan dari perspektif Negara Brunei Darussalam serta berinteraksi secara langsung dengan rakan-rakan institusi serantau.

Pertukaran pandangan seumpama ini amat penting dalam mengenal pasti peluang kerjasama yang praktikal, memperluas jaringan profesional dan mengikuti perkembangan landskap timbang tara di Asia yang sentiasa dinamik.

Selain itu, forum tersebut turut menegaskan bahawa kepelbagaian institusi merupakan salah satu kekuatan utama dalam bidang timbang tara di Asia.

Walaupun setiap institusi mempunyai matlamat yang sama dalam mempromosikan penyelesaian pertikaian yang berkesan, mudah diakses dan berwibawa, perbezaan dari segi tumpuan pasaran, keutamaan dan keupayaan masing-masing membuka ruang kepada pertumbuhan dan kemajuan bersama.

Melalui penyertaannya dalam JCAA Global Arbitration Forum 2026, BDAC sekali lagi menegaskan komitmennya untuk mempererat hubungan kerjasama serantau, memperkukuh keupayaan institusi serta menyokong perkembangan berterusan bidang timbang tara di Negara Brunei Darussalam dan di seluruh Asia.

BDAC berpandangan bahawa kerjasama dan bukannya persaingan, merupakan asas yang paling kukuh dalam memastikan kemajuan yang mampan bagi bidang timbang tara di rantau ini.