Perkukuh kapasiti institusi, tingkatkan kecekapan pentadbiran hasil

11 Nov 2026 - 6:23am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 November. – Kementerian Kewangan melalui Bahagian Hasil, dengan kerjasama Sekretariat Public Expenditure Management Network in Asia (PEMNA), menganjurkan Mesyuarat 2026 PEMNA Revenue Community of Practice Brunei Darussalam yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini hingga 12 November 2026, bertempat di Radisson Hotel, di ibu negara.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Ahmad.

Dalam ucapan perasmiannya, Awang Haji Asrul Adrain menjelaskan bahawa PEMNA Revenue Community of Practice (R-CoP), yang ditubuhkan setahun lalu, merupakan perkembangan terbaharu kepada rangkaian PEMNA yang sejak 2013 telah menggalakkan perkongsian ilmu, pembelajaran bersama dan kerjasama dalam kalangan pengamal pengurusan kewangan awam di rantau Asia.

Menurutnya, penubuhan R-CoP mencerminkan pengiktirafan bahawa pengurusan kewangan awam yang mampan bukan sahaja bergantung kepada pengurusan perbelanjaan yang berhemat, malah turut memerlukan sistem hasil dalam negeri yang kukuh, cekap dan berdaya tahan.

Walaupun masih di peringkat awal penubuhannya, R-CoP telah membuktikan kepentingan platform berkenaan dalam menghimpunkan pentadbiran hasil bagi berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran bersama serta mempelajari kejayaan antara satu sama lain.

Dalam tempoh yang singkat, R-CoP juga telah berkembang menjadi platform yang dipercayai dalam membina rangkaian profesional, berkongsi penyelesaian praktikal dan menggalakkan inovasi dalam bidang pentadbiran cukai, pengurusan pematuhan, transformasi digital, analisis data dan percukaian antarabangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran mesyuarat berkenaan bukan sahaja meraikan ulang tahun pertama penubuhan R-CoP, malah menjadi asas kepada perkembangan dan hala tuju platform tersebut pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam (NBD) berbesar hati untuk menyumbang kepada usaha berkenaan melalui penganjuran mesyuarat yang diharap dapat terus memperkukuh kerjasama, memperdalam kerjasama teknikal serta memperbaharui komitmen bersama dalam membangunkan pentadbiran hasil yang moden, telus dan responsif.

Diadakan secara hibrid, mesyuarat tersebut menghimpunkan kira-kira 75 peserta yang terdiri daripada pegawai pentadbiran hasil dari lebih 11 buah negara serta wakil pertubuhan antarabangsa, termasuk NBD, Kemboja, Republik Rakyat China, Indonesia, Republik Korea, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Mongolia, Filipina, Thailand, Timor-Leste dan Viet Nam serta Kesatuan Eropah (EU), Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bertemakan ‘Strengthening Revenue Administration through Compliance, Data, and Strategic Planning’, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pentadbiran hasil melalui peningkatan pematuhan, penggunaan data secara strategik serta perancangan yang lebih berkesan.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pendekatan untuk meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela melalui penambahbaikan perkhidmatan kepada pembayar cukai, pelaksanaan strategi bersasar serta keseimbangan antara pemberian sokongan dan perkhidmatan kepada pembayar cukai dengan tindakan penguatkuasaan.

Perbincangan turut menyentuh mengenai kepentingan integrasi dan analisis data serta perkongsian maklumat antara agensi bagi membantu proses membuat keputusan yang lebih tepat, mengenal pasti risiko ketidakpatuhan, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh prestasi kutipan hasil.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut meneliti pendekatan praktikal dalam penyediaan unjuran hasil, khususnya melalui penggunaan data pentadbiran, pematuhan dan pembayar cukai bagi meningkatkan ketepatan unjuran serta memperkukuh penyelarasan antara pentadbiran cukai, kutipan hasil dan perancangan fiskal.

Penyertaan NBD dalam PEMNA Revenue Community of Practice merupakan platform penting dalam memperkukuh kapasiti institusi serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal pegawai yang terlibat dalam pentadbiran hasil.

Melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik bersama negara-negara anggota, NBD berpeluang memperluas pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk pemungutan hasil, pematuhan, pendigitalan dan perancangan strategik.

Penyertaan tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kewangan dalam memperkasa pentadbiran hasil, memperkukuh kapasiti institusi serta memastikan sistem pengurusan kewangan awam negara kekal mampan dan responsif terhadap keperluan semasa.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah Bahagian Hasil, Dayangku Masleda binti Pengiran Daud selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi mesyuarat berkenaan.