Perkongsian strategik perkukuh jalinan persahabatan NBD, Kesultanan Oman

5 Nov 2026 - 8:41am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Atas jemputan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tariq, Sultan Oman, mengadakan Keberangkatan Negara selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bermula 2 hingga 4 November 2026.

Keberangkatan Negara, yang pertama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ke NBD, menandakan satu peristiwa bersejarah dalam hubungan persaudaraan yang terjalin lama antara NBD dan Kesultanan Oman, yang terus berkembang sejak penubuhan hubungan diplomatiknya pada 24 Mac 1984.

Menggambarkan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua keluarga diraja, serta komitmen bersama untuk memperdalam dan meluaskan lagi semua aspek hubungan dua hala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman bersetuju untuk meningkatkan hubungan antara NBD dan Kesultanan Oman kepada Perkongsian Strategik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman seterusnya bersepakat bahawa Perkongsian Strategik akan berfungsi sebagai rangka kerja yang bermakna untuk memajukan hubungan dua hala dengan membina bidang kerjasama sedia ada, mengenal pasti bidang baharu untuk kepentingan bersama, dan memupuk penglibatan yang lebih erat bagi memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Dalam lawatan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menganugerahkan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (DKMB), kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman turut menganugerahkan Kebawah DYMM Bintang Kebesaran ‘Order of Al-Said’, Bintang Kebesaran Kesultanan Oman (Order of Al-Said, the Highest Order of the Sultanate of Oman).

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman bersama-sama melancarkan Pameran Khas Foto Jalinan Kesultanan di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kesultanan Oman bertajuk Merapatkan Kesultanan (Bridging the Sultanates) di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, yang mempamerkan ikatan persahabatan yang kukuh dikongsi antara kedua-dua kesultanan untuk memperingati Keberangkatan Negara yang bersejarah ini.

Semasa Keberangkatan Negara, Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman bertukar-tukar pandangan mengenai kemajuan cemerlang yang dicapai dalam hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pelaburan, pendidikan, budaya dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman mengakui kepentingan mengekalkan interaksi rapat melalui mekanisme dua hala yang sedia ada, termasuk Mesyuarat Perundingan Dua Hala yang kerap diadakan, dan menggalakkan kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi pertukaran dan dialog, mengenai isu dua hala dan pelbagai hala yang mempunyai kepentingan bersama dalam rangka kerja Perkongsian Strategik.

Berdasarkan momentum positif ini, Kebawah DYMM bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman menyaksikan pemeteraian beberapa Perjanjian Dua Hala dan Memorandum Persefahaman.

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman melahirkan keyakinan bahawa pemeteraian perjanjian dan memorandum ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang yang berkaitan untuk menggalakkan kerjasama yang lebih luas dalam bidang yang saling menguntungkan.

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman juga bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa dan Kebawah DYMM merakamkan penghargaan dan pujian kepada Kesultanan Oman, di bawah pimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman, atas komitmen dan sumbangannya yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan keamanan, kestabilan dan keselamatan melalui dialog dan diplomasi.

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman juga menegaskan komitmen untuk menyokong usaha yang bertujuan mencapai keamanan dan kestabilan melalui cara yang aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Kebawah DYMM merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman kerana menerima jemputan lawatan NBD.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman merakamkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas layanan mesra yang diberikan kepada baginda dan delegasi baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman mengulangi komitmen Kesultanan Oman untuk meningkatkan lagi hubungan mesra dan meluaskan kerjasama yang saling menguntungkan dengan NBD, dan menyampaikan jemputan kepada Kebawah DYMM untuk melawat Kesultanan Oman.